Pasangan selebriti, Intan Ladyana, 39, dan Harris Alif, 22, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, jam 10 pagi, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Penolong Pengarah Jawi, Ustaz Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah. Hadir sama, Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Nasir Abdullah.
Harian Metro melaporkan pada majlis itu, Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian berserta tujuh dulang hantaran, manakala pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang. Namun, ia tidak dibawa bersama sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Selepas majlis itu, pasangan kedua mempelai meluangkan waktu bersama pihak media menerusi sesi temu bual secara dalam talian.
Harris yang juga pelakon dan pengacara berkata, majlis diawalkan sehari dari tarikh asal iaitu 6 Februari atas persetujuan kedua belah pihak dan Jawi.
Berkongsi mengenai perasaannya selepas sah bernikah, Harris berkata, bermula sudah tanggungjawab barunya sebagai suami.
"Sebelum akad nikah, rasa seperti tidak ada apa-apa. Apabila duduk di kerusi, ketika nak lafaz baru terasa gementar. Tapi, selepas selesai memang terus lega. Dalam masa sama, terus ada satu perasaan yang mana bermula sudah tanggungjawab baru sebagai ketua keluarga.
"Selepas ini saya sudah hidup berdua. Ini adalah langkah baru untuk ke alam perkahwinan dan sebagai suami," katanya.
Manakala, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya tidak menjangka majlis pernikahan mereka berlangsung dalam keadaan cepat.
"Disebabkan keadaan semasa yang tidak menentu, agak susah nak buat perancangan. Jadi, jalan terbaik adalah dahulukan majlis nikah kerana ini yang penting.
"Apabila jurunikah sebut sudah sah, saya terus terasa seperti, sudah selesai kah? Cepat betul rasanya. Selama ini saya berfikir ia ambil masa yang lama. Alhamdulillah, ia lancar dan dipermudahkan," katanya.
Mengenai perancangan tiga majlis resepsi, Intan berkata, semua itu bergantung kepada SOP ditetapkan.
Harian Metro difahamkan, pasangan ini turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang sepatutnya dilangsungkan termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang.
beautifulnara Google News Tag gossip artis Gossip Artis Malaysia Hiburan Kahwin Rotikaya