Harga Baru Gas Masak Diumumkan Hari Ini

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:30 PTG
KUALA PILAH – Harga baharu gas petroleum cecair (LPG) atau gas memasak bersubsidi dijangka diketahui selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri di Putrajaya petang ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, beliau akan membentangkan cadangan daripada kementerian pada pertemuan tersebut dan sekiranya dipersetujui, satu kenyataan mengenai subsidi baharu LPG akan dikeluarkan selepas itu.

Menurut beliau, mesyuarat yang akan dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan itu turut dihadiri timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan penglibatan Unit Perancang Ekonomi.

“Kita mengakui sejak 16 tahun lalu, harga LPG tidak pernah dikaji dan baru-baru ini kita mengambil pendekatan berunding dengan pihak berkepentingan dalam industri LPG bagi mencari jalan agar industri itu akan terus berkembang.

“Jadi petang esok (hari ini), kita akan menentukan harga baharu bagi LPG dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri,” kata beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Pemuda UMNO Cawangan dan Bahagian Kuala Pilah dan Mesyuarat Agung Permulaan Koperasi Harapan Baharu Kuala Pilah Berhad di sini semalam.

Hasan memberitahu, keputusan yang dibuat nanti adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

Katanya, kementeriannya sentiasa memantau kegiatan penyelewengan LPG selain berjaya menumpaskan beberapa sindiket yang sentiasa mencari peluang menyeleweng penjualan LPG di negara ini.

Pada ketika ini, harga gas memasak itu kekal pada harga kawalan iaitu RM26.60 bagi tong 14 kilogram.