MH370: Maklumat Sahih Kehilangan MH370 Didedah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:21 PTG
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan melalui sebuah pasukan penyiasatan bebas antarabangsa mengumumkan Laporan Interim dan Dokumen Maklumat Sahih berkaitan misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 semalam selepas genap setahun kehilangan pesawat berkenaan.

Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia mengenai MH370 itu dianggotai oleh lapan buah negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Australia, Singapura, Indonesia, Perancis dengan diketuai oleh Malaysia.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang mengetuai pasukan penyiasat berkenaan, Datuk Kok Soo Chon (gambar kecil) mengumumkan Laporan Interim berkenaan menerusi televisyen yang disiarkan stesen RTM semalam.

Sementara itu, Dokumen Maklumat Sahih setebal 578 muka surat yang menyatakan semua fakta terperinci mengenai MH370 boleh dimuat turun orang ramai menerusi laman web Kementerian Pengangkutan sejak petang semalam.

Laporan Interim setebal tiga halaman yang dikeluarkan oleh pasukan penyiasat tersebut turut boleh diperoleh orang ramai di laman web yang sama.

Soo Chon dalam kenyataan semalam berkata, pasukan penyiasat telah menemu bual lebih 120 orang dan mengunjungi pelbagai badan berkaitan untuk menyiasat dengan lebih mendalam misteri kehilangan MH370.

Antara yang ditemu bual pasukan itu termasuklah petugas Jabatan Penerbangan Awam, MAS, waris anak kapal, pengisi minyak pesawat, penyaji makanan untuk penerbangan, pencuci pesawat, pengendali dan operator kargo dan penghantar barangan.