2 lelaki ditembak dalam kejadian samun

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:10 PG

IPOH – Dua lelaki cedera ditembak dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Jalan Rapat Baru, Taman Taufik di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Ahmad Termizi Abdul Haq berkata dalam kejadian 8.20 malam itu, mangsa bersama dua lagi rakannya sedang bermain judi sebelum didatangi tiga lelaki bersenjatakan pistol yang cuba menyamun mereka.

“Ketika kejadian, berlaku pergelutan antara mereka menyebabkan seorang daripada suspek cedera di bahagian badan akibat dipukul dengan kerusi oleh mangsa, lalu seorang suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mangsa terdiri daripada pegawai bank berusia 26 tahun dari Bandar Cyber di sini, yang cedera di bahagian belakang badannya manakala ejen insurans berusia 35 tahun dari Taman Medan Lapangan Lagenda di sini cedera di paha kirinya.

Ahmad Termizi berkata seorang daripada suspek itu dapat ditangkap oleh rakan mangsa manakala dua lagi suspek melarikan diri menaiki kereta Proton Waja.

“Polis juga menemui semula telefon bimbit milik seorang mangsa dan wang tunai sebanyak RM8,000,” katanya.

Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata dua lagi suspek sedang diburu dan polis tidak menolak kemungkinan adanya motif lain di sebalik kejadian itu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.