Ketua Wanita Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, R Kumutha,42, meninggal dunia akibat Covid-19.
Dia menghembuskan nafas terakhir tengah hari tadi di Hospital Putrajaya.
Ketua DHPP Pusat, Dr N Balasubramaniam mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.
"Pemergian Cik Kumutha adalah satu kehilangan yang amat besar buat kami di Dewan Himpunan Pendukung PAS. Dia adalah seorang yang aktif dan sangat komited.
"Mendiang dimasukkan ke Hospital Putrajaya sejak 30 Jun 2021 lalu kerana didapati positif Covid-19 dan diberi rawatan rapi di ICU dan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada tengah hari tadi.
"Kehilangannya amat dirasai terutamanya kepada mereka yang pernah berjuang sekali bersamanya dalam PAS," katanya kepada Malaysiakini.
Kumutha berkelulusan Ijazah Perundangan University of Northumbria di Newcastle sangat aktif dalam PAS sejak tahun 2007.
Dia juga merupakan salah seorang pengasas Kelab Penyokong PAS yang kini dikenali sebagai DHPP.
Selain itu Kumutha juga merupakan calon bukan Islam yang pertama bertanding di bawah tiket PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 di kerusi Dun Tiram, Johor
Dia juga dipilih sebagai calon untuk dua lagi PRU berikutnya mewakili PAS iaitu pada 2013 dan 2018.