Muhyiddin dengar nasihat Agong dan Raja-raja Melayu, kata Anwar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:58 PG

Kerajaan diasak membuka segera Parlimen untuk memastikan segala persoalan mengenai isu COVID-19 dijawab oleh ahli yang mewakili rakyat secara telus.


Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekali gus memberi pemahaman kepada masyarakat tentang situasi semasa pandemik itu di negara ini yang menular memangsai rakyat dan tidak ada petanda mudah untuk meleraikannya.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pertemuan Majlis Raja-Raja di Istana Negara, semalam.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendengar titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Beliau berkata, Seri Paduka berbuat demikian kerana bimbang dengan situasi negara terutama dari segi penularan pandemik Covid-19, kestabilan politik dan kedudukan ekonomi semasa.

“Istana Negara terpaksa menyuarakan kerana ini keluhan masyarakat setelah baginda mendengar majoriti parti-parti politik yang mewakili majoriti pimpinan negara yang menuntut supaya darurat dihentikan dan Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Sudah sampai ke tahap mana kerajaan khususnya PM harus mendengar nasihat dan titah Agong dan Raja-raja Melayu,” katanya.

Tegasnya, Muhyiddin tidak seharusnya bersikap terlalu keras dan berdegil dalam membuat sesuatu keputusan.

“Kalau tidak bersedia, kamu tidak ada keabsahan, kamu hilang kepercayaan, sepatutnya tunduk kepada tuntutan Perlembagaan dan titah nasihat Agong untuk mengadakan sidang Parlimen.

“Kalau kamu enggan sebaiknya secara terhormat demi selamatkan negara, ekonomi dan biar pengendalian penyelesaian masalah Covid-19 dirangka dan dilaksana lebih baik, maka secara terhormat kamu harus undur dan letak jawatan. 

'Itu pendirian Pakatan Harapan (PH) dan saya percaya didokong majoriti ahli-ahli Parlimen dan rakyat,” katanya secara langsung di Facebook.

Anwar yang juga Presiden PKR menggesa jawatan kuasa darurat membuat keputusan berhubung pelaksanaan darurat.

“Kenyataan istana jelas, jawatan kuasa darurat perlu menasihati dalam sidang akan datang supaya buat keputusan terus untuk hentikan darurat sekarang atau selewat-lewatnya 1 Ogos,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menasihati kerajaan agar memanfaatkan pandangan pakar-pakar luar serta penyelidikan termasuk universiti tempatan dalam isu melibatkan COVID-19.