Penyokong PM tuduh desak buka Parlimen, sikap binatang politik

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:46 PG

Desakan agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sekiranya gagal menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka semula parlimen secepat mungkin oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai "binatang politik".


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman dalam satu kenyataan menyifatkan desakan itu juga sebagai tidak bertanggungjawab kerana tidak mengira situasi wabak Covid-19 yang masih mengganas.

"Amatlah tidak bertanggungjawab kelompok binatang politik tersebut yang mahu parlimen dibuka sekarang sungguhpun mereka tahu kadar vaksinasi nasional belum mencapai liputan 50 peratus populasi negara. 

"Sedangkan mereka tahu kadar vaksinasi yang sedang diusahakan kerajaan makin hari makin meningkat kepantasannya. Tidak bolehkah mereka bersabar sedikit masa lagi?" soalnya.


Tambah Muhammad Faiz, jika parlimen dibuka sekarang, bukan saja ahli-ahli Parlimen terdedah dengan varian-varian baru Covid-19 yang lebih ganas, tapi juga semua pihak lain termasuk tukang cuci, pengawal keselamatan, hinggalah kepada staf parlimen.

"Kita tidak mahu kelak nanti wujud pula kluster Parlimen yang mengorbankan nyawa terutama mereka yang berada dalam kelompok berisiko tinggi akibat mempunyai penyakit-penyakit kronik yang lain," kata Muhammad Faiz.

Menurut Muhammad Faiz, desakan untuk Muhyiddin berundur juga tidak perlu dibuat kerana pengerusi Bersatu itu telah memberi jaminan bahawa Parlimen boleh dibuka semula apabila pelan pemulihan negara berkaitan Covid-19 memasuki fasa ketiga.

"Kenyataan Istana Negara semalam bertepatan dengan kenyataan pihak Perdana Menteri sebelumnya bahawa parlimen akan dibuka secepat mungkin dalam bulan September atau Oktober setelah kadar vaksinasi kebangsaan mencapai sasaran tertentu serta setelah kes-kes baru Covid-19 dapat diturunkan dengan drastik. Tiada titah dari Yang di-Pertuan Agong agar parlimen dibuka sekarang juga ketika darurat sedang berlangsung hingga 1 Ogos nanti," kata Faiz.

Terdahulu, Majlis Presiden PH menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan jika gagal menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuka semula parlimen secepat mungkin.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan pemimpin DAP, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata pemimpin PH kini bagaikan menangguk di air yang keruh dengan cuba memutar-belitkan kenyataan dari Istana Negara bagi tujuan politik dan mengalihkan perhatian rakyat di negara ini.

"Kenyataan dari Istana Negara semalam juga langsung tidak menyebut bahawa kerajaan Malaysia pimpinan Perikatan Nasional (PN) sekarang gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya malah tiada pula dilayan sebarang cadangan untuk membentuk MAGERAN (Majlis Gerakan Negara), PRU (Pilihanraya Umum) dalam waktu terdekat atau sebarang bentuk penukaran kepimpinan negara dari yang sedia ada," katanya.

Tambah Muhammad Faiz, apa yang diinginkan pihak Istana Negara kini adalah kerjasama semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing untuk menangani wabak Covid-19.