Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ada pihak yang cuba mengawal Umno setelah gagal menghancurkan parti itu. Pihak tersebut tahu Umno adalah "parti keramat bangsa dan agama" yang mampu bangkit semula selepas tewas dalam PRU14 2018.
Zahid bagaimanapun tidak menyebutkan secara khusus pihak yang dimaksudkan, tapi kenyataan itu hadir selepas Umno memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.
Terdahulu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu menjelang PRU ke-15. Ia selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mendesak Umno menyatakan pendirian berkenaan hubungan dua parti itu.
Bagaimanapun, Umno Perlis dan Sabah baru-baru ini menyatakan pendirian yang bertentangan, iaitu untuk meneruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).
Bekas Setiausaha Agung BN Annuar Musa pula membayangkan lebih banyak lagi Umno peringkat bahagian dan negeri yang akan mengambil pendirian itu.
Ikuti tulisan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di Facebook beliau di bawah:
Assalamualaikum dan salam sejahtera para ahli dan penyokong UMNO sekalian.
Saya menulis kali ini supaya saudara saudari ahli dan penyokong UMNO dapat memahami realiti ini.
Usaha untuk memulihkan UMNO selepas dilanda badai fitnah PRU14 bukanlah suatu kerja yang mudah.
Kiri kanan, depan belakang, atas bawah musuh tidak pernah berhenti cuba menyekat.
Musuh nyata sudah pasti. Musuh tidak nyata berselindung dalam kesamaran penuh hasutan.
Musuh tahu UMNO parti keramat bangsa, agama dan parti terbesar umat Melayu mampu bangkit semula.
Kerana itu mereka berusaha gigih menghancurkan UMNO ‘once and for all’ sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun usaha itu tidak pernah berjaya kerana kedegilan pemimpin dan ahlinya.
Untuk itu UMNO mahu dalam kawalan mereka pula selepas riwayatnya tidak mampu ditamatkan.
Menggunakan broker bertaraf jurucakap dan ‘claim’ merekalah penyatuan ummah.
Ironinya dasar penyatuan ummah perlu berlandaskan kepada kejujuran dan keikhlasan.
Bukan untuk menguasai supaya terus berkuasa. Bukan juga untuk kepentingan si polan dan si polan.
Andai berjaya, jenama UMNO boleh dipergunakan. Jutaan ahli UMNO boleh ‘diremote’ dan dikudakan.
Tanpa cabaran pemimpin dan ahli UMNO, kedudukan dan kekuasaan mereka lebih selesa dan terjamin.
Walaupun itu bermaksud kebajikan rakyat terabai, ekonomi merudum manakala demokrasi tercalar.
Adakah harus kita menyerah? Adakah perlu pasrah dan relakan sahaja cubaan ‘acquisition’ ini?
Sedangkan UMNO parti milik rakyat, milik lebih 3 juta ahli dan jutaan penyokongnya.
UMNO juga yang memayungi kaum-kaum lain secara adil sejak merdeka. Buktinya lihatlah sekeliling.
Kerana enggan menggadaikan UMNO, pemimpinnya dipropagandakan mahu menyelamatkan diri daripada pendakwaan mahkamah.
Sedangkan pemimpin UMNO ‘kluster mahkamah’ inilah yang berani dan setia memperjuangkan UMNO walau apa menimpa mereka.
Jika mahu lihat bagaimana kaedah menyelamatkan diri, boleh lihat katak yang kini selesa ‘di seberang jalan’.
Boleh juga lihat kepada burung belatuk yang sedang kekenyangan dapat dedak ‘di belakang rumah’.
AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden UMNO
7 Mac 2021.
Free Malaysia Today Hadi Awang Malaysiakini BM najib razak Politik Tan Sri Muhyiddin Yassin zahid hamidi