Dr Mahathir terima vaksin di Langkawi, maklum Dr Noor Hisham

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:04 PG

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech untuk Covid-19.

"Semoga Tun Dr Mahathir diberikan pelindungan dari jangkitan Covid-19. InshaAllah. Berdaftarlah dengan segera di Mysejahtera," tulisnya di Twitter.

Dr Mahathir disuntik Penyelia Jururawat Klinik Kesihatan Kuah Rosmini Che Lah manakala Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Kuah Siti Hamizah Masdar menyuntik isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Pada hantaran di Facebook, ahli parlimen Langkawi berkata dia memilih untuk disuntik bersama kumpulan kedua petugas barisan hadapan di sana.

"Kumpulan pertama frontliners di Langkawi sudah divaksin lebih awal.

"Selain itu sebagai warga emas saya ingin mengajak bukan sahaja yang berumur seperti saya tetapi juga rakyat yang lebih muda untuk turut bersama divaksin apabila tiba giliran nanti.

"Usaha ini perlu kita sokong," katanya.

Menurut Dr Mahathir, sebolehnya ramai orang perlu diberi vaksin untuk membantu usaha mengekang pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah selepas suntikan saya tidak berasa apa-apa yang luarbiasa.

"Saya ingin rakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada pihak Klinik Kesihatan Kuah, Hospital Langkawi dan para barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memastikan program vaksinasi berjalan lancar," katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menerusi infografik di Twitter memaklumkan setakat jam tiga petang hari ini, jumlah individu yang mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan telah mencecah 3,244,641 orang.

Terdahulu, pengarah kesihatan memberitahu sejak pendaftaran vaksin bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka pada 24 Feb lepas, Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi seramai 991,181.

Ia diikuti dengan Johor dengan 335,537 individu, Kuala Lumpur (292,983) dan Sarawak (240,630).

Dr Noor Hisham juga berkata seramai 127,608 telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di seluruh negara, setakat 6 Mac.