Selangor kekal larangan guna kalimah Allah dalam Bible, Sultan Selangor arah majlis agama Islam celah rayuan kes kalimah Allah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:03 PG
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, menjadi kewajipan orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah ‘Allah’, jika terdapat unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadapnya. (Gambar Bernama)

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memohon kepada mahkamah untuk menjadi pencelah dalam rayuan terhadap penghakiman membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah “Allah” dalam pendidikan dan buku agama mereka.

Sebagai ketua agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin menegaskan komitmen untuk mempertahankan kesucian kalimah “Allah”.

“Apa gunanya beta menjadi ketua agama Islam Selangor, jika beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam daripada dicemari pihak yang mempunyai agenda tersendiri?

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Selangor ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Nor Bee Ariffin memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah“, “Baitullah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Katanya, arahan itu melampaui tujuan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Susulan itu, Putrajaya pada 15 Mac lalu memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Sultan Sharafuddin berkata, umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka, oleh itu umat Islam juga perlu dihormati, khususnya dalam penggunaan kalimah “Allah” yang menjadi pegangan utama mereka.

Beta menitahkan rakyat beta yang bukan beragama Islam di Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam 1988) yang diwartakan pada 7 Julai 1988.

“Ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat perniagaan atau bangunan.”

Katanya, kalimah “Allah” tidak boleh diletakkan di tempat salah atau digunakan selain daripada maksud “Tuhan Yang Maha Esa”, yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam.

Namun, beliau tidak membantah sekiranya “tuhan” digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan “God”.

“Beta mengulangi pendirian beta bahawa kalimah ‘Allah’ ialah kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk ‘Tuhan Yang Maha Esa’ yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan.

“Beta menegaskan menjadi tanggungjawab semua umat Islam, terutamanya umat Islam di Selangor, untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.”