Remaja 18 tahun dituduh rogol gadis hingga lahirkan anak

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1:36 PG
KELANTAN - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas pertuduhan merogol remaja perempuan dalam kejadian di Kampung Tanjung, Pasir Tumboh, pada Mac tahun lalu.

Malaysiakini melaporkan tertuduh, Mohamad Adli Mohamed Kamil, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 14 tahun pada sekitar Mac tahun lalu kira-kira jam 11 malam.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Sharifah Amirda Shasa memohon supaya tiada jaminan ditawarkan, manakala tertuduh memohon untuk diberi jamin kerana berjanji untuk berkahwin dengan mangsa selepas melahirkan anak.

Difahamkan, mangsa melahirkan anak perempuan awal Januari lalu dan bayi itu kini berusia tiga bulan.

Malaysiakini difahamkan laporan kimia asid mendapati deoksiribonukleik (DNA) tertuduh sepadan dengan DNA bayi tersebut.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 6 April sebagai tarikh sebutan semula kes.