Pelajar ‘carut guru’ didakwa di mahkamah, mengaku salah tuduhan menghina

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:01 PG
Dua pelajar yang menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Dua pelajar yang memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru sambil menunggang motosikal, Rabu lalu didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menghina.

Tertuduh masing-masing berusia 17 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua pelajar berkenaan didapati memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bulatan Chempaka, 4 petang 3 Mac lalu, Harian Metro melaporkan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 mengikut akta sama.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya, S Gayathri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Malaysia, Nik Nazriani Nik Abd Rahman.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jamin RM100 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun bagi sebutan semula kes dan laporan akhlak.

Terdahulu, tular di media sosial menyaksikan dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal dengan memakai baju sekolah dengan tulisan menghina guru.