Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memfailkan saman terhadap bekas ahli Umno dan anggota pengasas PPBM, Anina Saadudin, kerana memfitnahnya dalam catatan Facebook.
Free Malaysia Today melaporkan, dalam pernyataan tuntutan difailkan oleh Tetuan Kesavan, Ismail berkata, Anina membuat serangan bersifat peribadi terhadapnya 13 kali antara 5 Feb dan 3 Mac.
Ismail, yang juga naib presiden Umno, mendakwa Anina mempersendakannya dan keterlaluan apabila memuat naik kenyataan serta video untuk “merosakkan” reputasinya di mata umum.
“Hantaran itu tiada kaitan dengan polisi kerajaan dan tugas plaintif sebagai menteri,” kata pernyataan tuntutan difailkan pada 5 Mac.
Menurutnya, catatan Anina itu, antara lain, memberikan gambaran bahawa Ismail seorang yang lemah dan penakut.
Ismail memohon injunksi untuk memaksa Anina atau sesiapa yang menguruskan akaun Facebooknya supaya membuang 13 kenyataan dan video didakwa fitnah itu.
Beliau turut memohon injunksi untuk menghalang Anina daripada memuat naik kenyataan dan videonya ke platform media sosial lain.
Selain itu, Ismail menuntut permohonan maaf serta ganti rugi dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Anina, ahli Umno Langkawi yang menyertai PPBM serta menyokong Tun Mahathir dan Muhyiddin namun kemudian keluar dari parti itu lalu menjadi penyokong setia bekas perdana menteri Najib Razak.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan Anina dipanggil memberi keterangan.
“Saya sahkan Anina dipanggil dan direkod percakapan hari ini. Bekas Ketua Srikandi Bersatu itu hadir bagi membantu siasatan isu majlis makan membabitkan Ismail Sabri yang tular di media sosial,” katanya di sini semalam.
Anina ketika ditemui berkata, dia telah bekerjasama dengan polis serta memuji sikap profesional pihak berkuasa tersebut sepanjang proses itu berlangsung.
“Pihak polis selepas ini akan pergi ke rumah saya di Bandar Baru Bangi bagi merampas komputer riba yang digunakan ketika memuat naik video tersebut,” katanya dipetik Utusan Online.
Pada 13 Februari lalu, Setiausaha Akhbar Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, Azlina Md. Rosdy membuat laporan di IPD Dang Wangi di sini berhubung penyebaran video lama memfitnah menteri itu melanggar SOP PKP.
Video pendek pertama tular kononnya cuba menunjukkan ia adalah sidang media terbaru yang menyatakan tiada lagi saman dan kompaun akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.
Video kedua tular dan diberi tajuk ‘sendiri buat SOP sendiri langgar’ sebenarnya adalah rakaman di mana Ismail Sabri hadir dalam satu majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 15 September tahun lalu.