Muhyiddin guna 'taktik tersembunyi' sebelum Parlimen bersidang, dakwa Anwar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 10:09 PG
Anwar Ibrahim menuduh pakatan Muhyiddin Yassin menggunakan taktik tersembunyi menarik sokongan Ahli Parlimen sebelum Parlimen bersidang. - Foto Mothership

Selepas dua Ahli Parlimen PKR melompat parti menyokong Muhyiddin Yassin, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan perdana menteri yang terus “mengunci mulut” berhubung kenyataan Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

Presiden PKR itu dilapor portal Free Malaysia Today berkata, sudah hampir seminggu sejak Istana Negara mengeluarkan kenyataan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kenapa tiada kenyataan daripada perdana menteri sebagai tanda hormat terhadap kenyataan Agong?” soal Anwar.

“Sebelum ini, kerajaan memaklumkan rakyat bahawa darurat diisytiharkan oleh Agong, maka ia tidak boleh dipersoalkan,” kata Anwar melalui video di Facebook.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ini menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih belum memiliki majoriti untuk mentadbir negara, “sehinggakan perlu membeli beberapa Ahli Parlimen”.

Semalam, Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong keluar daripada PKR dan menyatakan sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

PKR memenangi 48 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum yang lalu tetapi kini hanya memiliki 36 kerusi.

Anwar turut dilapor FMT mendakwa, pakatan Muhyiddin menggunakan taktik tersembunyi untuk memenangi hati lebih ramai Ahli Parlimen “dengan cara apa pun yang mereka boleh untuk mendapatkan sokongan sebelum Parlimen bersidang semula”.

Darurat di seluruh negara diisytiharkan pada 12 Jan dan ia termasuk penggantungan persidangan Parlimen hingga Ogos.

Anwar berkata, sidang Parlimen akan membantu membangkit dan membahaskan isu pengangguran, ekonomi, dan pelaburan yang lebih rendah kerana kurangnya keyakinan terhadap kerajaan.


Sumber baca lanjut: Free Malaysia Today