Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menegaskan, beliau sanggup menjadi “bad boy” atau “budak jahat” ketika kerajaan memperkenalkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada Mac tahun lalu demi melindungi nyawa rakyat daripada Covid-19.
Ismail berkata, biarpun berat dan kesannya amat besar namun kerajaan terpaksa membuat keputusan drastik menutup semua sektor ekonomi serta mengarahkan rakyat duduk di rumah demi keselamatan.
Menteri tersebut berkata, ketika itu belum ada negara lain berbuat demikian untuk dijadikan panduan bagi mengawal penularan Covid-19.
Menurutnya, walaupun belum sampai dua minggu berada dalam barisan Kabinet Muhyiddin Yassin, semua anggota termasuk dirinya mula bertugas di kementerian masing-masing.
“Kerajaan terpaksa mengumumkan pelaksanaan PKP mulai 18 Mac 2020 kerana nyawa rakyat lebih penting daripada segalanya. Apa yang kita lakukan adalah acuan kita sendiri. Alhamdulillah…kita lihat, kita memperoleh kejayaan. Memang benar saya jadi ‘bad boy’ lah kerana saya yang terpaksa menutup (sempadan).
“Saya yang terpaksa memperkenalkan SOP ketat dan sebagainya, tetapi ia adalah antara nyawa dan kehidupan. Bagi kita (kerajaan) nyawa rakyat amat penting dan mesti dilindungi.
“Sebab itulah kita memperkenalkan PKP pertama yang sangat ketat sehingga tidak ada pergerakan langsung, semua hanya duduk di rumah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Tambah Ismail, apabila keadaan semakin baik kerajaan memperkenalkan pula perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan beberapa sektor ekonomi mula dibuka, apabila perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) diperkenalkan, lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan.
Kerajaan masih memastikan SOP yang diperkenalkan pada PKP dipatuhi dan sekatan jalan raya serta kawalan sempadan dilaksanakan untuk mengawal kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk memperkasakan Ops Benteng.
Menurut Ismail keputusan sama ada PKP dan PKPB yang dilaksanakan di seluruh negara ketika ini disambung atau tidak akan diumumkan selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendengar taklimat penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.