IPOH: Pihak yang mempunyai maklumat mengenai tindakan beberapa pihak yang cuba untuk “potong barisan” bagi mendapatkan vaksin Covid-19 boleh melaporkan perkara itu kepada polis.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, kesalahan itu boleh dianggap sebagai satu bentuk penyelewengan dan tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap mereka yang terlibat.
“Sekiranya berlaku seperti mana didakwa, kita minta laporlah kepada pihak saya (polis), mungkin ada penyelewengan di satu-satu pihak dan ia boleh jadi satu kesalahan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara Penutup Kursus Asas Konstabel Orang Asli di Briged Utara PGA Ulu Kinta.
Beliau mengulas dakwaan seperti dilaporkan media, terdapat 200 ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba “memotong barisan” untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19.
Mesej yang tular di media sosial itu mendakwa suntikan vaksin kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi “laluan” kepada 200 ahli SUK Kelantan.
Laporan itu bagaimanapun dinafikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin.
Hamid bagaimanapun berkata, setakat ini tidak ada laporan polis dibuat berhubung dakwaan itu.
Katanya, beliau juga dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, ada mengeluarkan kenyataan untuk meminta perkara itu disiasat.
“Kalau benar ada berlaku, kita minta laporkan kepada polis,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Hamid berkata pihaknya merancang untuk memindahkan satu briged Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Semenanjung ke Sabah berikutan ancaman yang berlaku di beberapa lokasi di timur laut negeri itu.
Beliau berkata, perkara itu juga perlu dilakukan bagi memastikan apa yang berlaku pada Ops Daulat sebelum ini tidak berulang.
“Kita ada terima maklumat daripada risikan di Sabah ada usaha untuk menyerang Sabah (dari musuh) dan ia berjaya digagalkan dengan kerjasama pihak berkuasa Filipina.
“Kita tidak mahu Ops Daulat berulang, kita sedang dalam perbincangan dengan beberapa pegawai kanan bahawa PGA perlu diperkasakan di Sabah termasuk Sarawak,” katanya.
Ketika ini Sabah mempunyai satu briged terdiri daripada lima batalion.