Lima individu dilaporkan terperangkap dalam runtuhan melibatkan sebuah jambatan dalam pembinaan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Pandan Indah menghala ke Ampang, petang tadi. - Foto FMT |
Kejadian jambatan dalam pembinaan yang runtuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Pandan Indah menghala ke Ampang, Kuala Lumpur pada petang Rabu. - Foto Sinar Harian |
KUALA LUMPUR: Semua lima mangsa terdiri pemandu dan penumpang van kilang yang terperangkap dihempap runtuhan perancah besi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berjaya dibawa keluar malam ini.
BHOnline melaporkan, mangsa pertama dibawa keluar bermula jam 8.30 malam tadi sebelum mangsa terakhir dibawa keluar pada jam 9.29 malam.
Kesemua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM) untuk menerima rawatan lanjut.
Namun sehingga kini tidak dapat dipastikan keadaan terkini mangsa lelaki yang berjaya dibawa keluar itu.
Pasukan dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) turut kelihatan di lokasi.
Laluan masuk ke lokasi turut dilencongkan dan pengguna kini perlu berpatah balik.
Perancah besi pembinaan itu runtuh selepas sebuah lori membawa jengkaut melanggar binaan terbabit, hari ini.
Lima individu terperangkap dalam runtuhan melibatkan sebuah jambatan yang sedang dalam pembinaan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Pandan Indah menghala ke Ampang di sini pada petang Rabu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 5.58 petang.