2 maut, perancah besi pembinaan SUKE runtuh, hempap van kilang

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:52 PG
Struktur besi jambatan SUKE runtuh - Foto FMT
Pihak berkuasa mengambil empat jam untuk mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang. - Foto BHOnline

KUALA LUMPUR: Dua maut, manakala tiga lagi parah selepas sebahagian struktur jejambat dalam pembinaan di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh lalu menghempap sebuah van kilang yang dinaiki lima individu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 6 petang tadi membabitkan sebuah lori membawa jengkaut yang melanggar binaan SUKE berhadapan Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.

Katanya, mayat dan mangsa cedera dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM di Cheras.

“Pemandu lelaki dan dua penumpang wanita cedera, manakala dua lagi penumpang wanita meninggal dunia,” kata kepada FMT di tempat kejadian.

Beliau berkata, pasukan bomba dan penyelamat mengambil empat jam untuk mengeluarkan semua mangsa, dengan mangsa terakhir dikeluarkan pada 9.26 malam.

Sementara itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd yang merupakan pemegang konsesi SUKE dalam kenyataan berkata, sebuah treler yang membawa lebih muatan melanggar perencah besi binaan lebuh raya itu.

Katanya, treler itu tidak terbabit dalam pembinaan lebuh raya berkenaan dan kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.