Empat Ah Long ditahan ugut culik ahli keluarga peminjam

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:10 PG
Polis berkata, sindiket yang beroperasi sejak setahun lalu di Butterworth itu menawarkan pinjaman wang tanpa lesen dan mengiklankan serta berinteraksi dengan mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.

BUTTERWORTH: Polis menahan empat lelaki dipercayai ahli sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along menerusi aplikasi WhatsApp dalam serbuan di sebuah premis di Butterworth dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, empat lelaki berusia 20 hingga 22 tahun itu ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara, ekoran laporan polis dibuat seorang peminjam.

Katanya, seorang lelaki yang membuat pinjaman wang berjumlah RM700 daripada sindiket itu awal tahun ini sudah selesai membayar hutang, termasuk melebihi jumlah pinjaman, namun along masih mengarahkan mangsa membuat bayaran dengan kadar bunga tinggi, selain mengugut mahu menculik ahli keluarganya jika enggan membayar.

“Sindiket yang beroperasi sejak setahun lepas di Butterworth itu menawarkan pinjaman wang tanpa lesen dan mengiklankan serta berinteraksi dengan mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mereka menawarkan pinjaman kepada warga tempatan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan faedah pinjaman tinggi, malah turut mengugut membaling cat ke rumah dan kenderaan serta menculik ahli keluarga mangsa yang gagal membayar pinjaman,” katanya dalam kenyataan.

Rosni berkata, susulan penahanan empat lelaki itu, polis merampas 10 telefon bimbit, kad bank, sim kad, dua kereta, sejumlah kunci, buku catatan dan wang tunai RM3,375.

Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek menerima bayaran atau gaji antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan bagi menjalankan kegiatan pinjaman serta mengugut mangsa yang gagal membayar hutang.

“Seorang daripada mereka yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau dan empat lelaki tersebut kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya sambil menambah polis giat mengesan ketua dan beberapa lagi ahli sindiket itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat pinjaman daripada along dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang yang diiklankan melalui WhatsApp dan laman sosial seperti Facebook dan Telegram kerana ia tidak mempunyai lesen.

- BERNAMA