Menceritakan kembali peristiwa lapan tahun lalu ketika menyertai Op Daulat pada Mac 2013, di Kampung Simunul, Sabah, dia hanya terfikirkan akan mati.
"Namun dalam keadaan parah, saya gagahkan diri untuk terus bertahan selepas melihat arwah Tuan Ibrahim (Asisten Komisioner Ibrahim Lebar) masih hidup dan cuba menyelamatkannya namun Tuhan lebih menyayanginya.
"Ketika kejadian kira- kira jam 7.30 petang itu, pertempuran berbalas tembakan berterusan selama 15 minit dan tiada satu saat pun berhenti. Insiden berbalas tembakan itu dimulakan penceroboh militan Royal Security Force (RSF) selepas gerakan mereka untuk menawan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Sabah dapati dihidu pasukan keselamatan negara.
"Alhamdulillah, umur saya masih panjang dan diberikan lagi kehidupan sampai hari ini, walaupun ada enam rakan seperjuangan yang terkorban jasa dan bakti mereka begitu besar serta tidak ternilai dalam mempertahankan tanah air.
"Arwah Tuan Ibrahim sendiri ditembak dan meninggal dunia di sebelah saya, walaupun difahamkan ketika itu terdapat lebih 200 musuh namun kami tekad untuk berjuang kerana pencerobohan itu satu pencabulan terhadap tanah air... jadi ia perlu dihalang," katanya yang kini bertugas di Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perbarisan Hari Polis Ke- 24 Kontinjen Melaka, yang disempurnakan Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali di IPK Melaka, Bukit Beruang, di sini, semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, pengalaman ketika menyertai misi Op Daulat akan tersemat rapi dalam dirinya, misi yang begitu besar dalam mempertahankan negara daripada ditawan pihak penceroboh.
"Malah kata- kata arwah Tuan Ibrahim sebelum kami memulakan misi menjadi kekuatan ketika bertempur. Ketika itu saya bertanyakan pandangan dengan mengatakan musuh sudah tahu dan bersedia beliau kemudian menjawab 'Hasnal kita lawan'.
"Walaupun peristiwa itu sudah berlalu namun kesan dan parut yang ada ini menguatkan lagi semangat saya untuk terus berjuang demi mencurah bakti kepada tanah air," katanya.
Ujar Mohamad Hasnal lagi, sebagai polis yang berjanji taat setia kepada negara mereka perlu bertekad untuk sama- sama pertahankan negara, menjaga keselamatan serta kedaulatan tanah air adalah keutamaan kerana polis adalah benteng.
Harian Metro
lahad datu lahad datu latest news polis diraja malaysia sabah