Agong setuju denda RM100,000 untuk ‘undang-undang berita palsu’, kata Takiyuddin

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1:54 PTG

Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan jumlah denda lebih tinggi bagi kesalahan berkaitan undang-undang berita palsu, kata Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong mempersetujui ordinan darurat baharu yang menetapkan denda sehingga RM100,000 melibatkan penyebaran berita palsu, kata Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan.

Memetik ordinan yang baru diwartakan itu, beliau berkata jelas dinyatakan Agong berpuas hati bahawa tindakan serta-merta dikehendaki bagi menjamin dan mengekalkan “keselamatan, kehidupan ekonomi, dan ketenteraman awam”

Menurut tafsiran ordinan itu, “berita tidak benar” termasuklah apa-apa berita, maklumat, data, dan laporan, yang keseluruhannya atau sebahagiannya palsu, berhubungan dengan Covid-19 atau pengisytiharan darurat.

Ordinan ini turut menangani penyebaran berita palsu di luar Malaysia.

“Jika mana-mana kesalahan di bawah Ordinan ini dilakukan oleh mana-mana orang, walau apa pun kerakyatan atau kewarganegaraannya, di mana-mana tempat di luar Malaysia, dia boleh diuruskan berkenaan dengan kesalahan itu seolah-olah kesalahan itu telah dilakukan di mana-mana tempat di dalam Malaysia.”

Laporan semalam menyebut mereka yang menghasilkan, menerbit atau menyiarkan berita palsu kini berdepan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya di bawah ordinan darurat baharu.

Mereka yang membayar untuk penghasilan berita palsu seperti itu akan berdepan hukuman lebih berat, dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Ini mencetuskan kritikan ahli politik, kumpulan media dan peguam yang menyuarakan kebimbangan ia akan mengekang hak dan kebebasan orang ramai.

Sumber pautan artikel asal: Free Malaysia Today