Bukan hukum kutip duit rakyat, jangan cemas kompaun RM10,000 boleh rayu - Ismail Sabri

Ana Ghoib Syeikh Malaya 2:25 PTG
Ismail Sabri kompuan RM10,000 boleh buat rayuan bukan kerajaan mahu denda hukum berlebihan atau kutip duit rakyat. - Foto Astro AWANI

Nilai kompaun maksimum RM10,000 bagi kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula berkuat kuasa semalam, hanya untuk kesalahan berulang.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata masyarakat tidak perlu cemas dengan kes individu dikenakan kompaun RM10,000 yang tular dalam media sosial sehingga mencetuskan rasa panik.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata setiap individu yang dikenakan kompaun seperti itu boleh mengemukakan rayuan, dengan jumlah maksimum hanya dikekalkan terhadap pesalah berulang termasuk pemilik premis hiburan.

Katanya, nilai maksimum itu termaktub dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam kelmarin, dan jumlah pengurangannya akan diputuskan mahkamah serta budi bicara Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) apabila pesalah membuat rayuan.

"Di dalam notis saman itu hukuman itu adalah berdasarkan seksyen yang berkaitan... selepas pindaan ini, dia tulis maksimum RM10,000... polis kena tulis RM10,000, dia tak boleh tulis RM1,000.

"Tapi rayuan boleh dibuat di pejabat kesihatan daerah bukan kepada polis... jadi masa nak bayar kompaun, merayulah dan saya percaya pegawai kesihatan daerah pasti akan memberikan pengurangan," katanya selepas melawat seorang veteran Angkatan Tentera (ATM) Md Salleh Ahmad, di kediamannya di Alor Setar, hari ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan menaikkan nilai kompaun itu, bagaimanapun bukan untuk menghukum orang ramai secara berlebih-lebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata bermula semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada individu yang melanggar SOP PKP.

Sumber - Astro AWANI