Isham Jalil dan Muhyiddin Yassin - Foto InfoRakyat |
Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil memberi amaran kepada sesiapa yang menerima tawaran Timbalan Perdana Menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dilihat sebagai menggadaikan Umno untuk kepentingan diri sendiri.
Portal MalaysiaDateline memetik Isham Jalik dalam satu kenyataan berkata, jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai banyak kuasa untuk membuat dasar dan perubahan untuk rakyat, malah setahun kebelakangan ini jawatan itu tidak diisi menunjukkan ianya bukanlah kritikal.
“Oleh itu tidak masuk akal untuk Umno terima jawatan ini sekarang.
“Sebenarnya jika Muhyiddin ikhlas dengan Umno, dari awal dia jadi Perdana Menteri dulu dia sepatutnya telah tawarkan jawatan ini kepada Umno, tetapi tidak,” kata beliau.
Beliau berkata demikian susulan ada ura-ura bahawa Muhyiddin akan menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Umno.
Isham berkata, tawaran itu untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang amat goyah sekarang umpama telur di hujung tanduk.
“Muhyiddin sedang terdesak, dia akan buat apa sahaja sekarang.
“Namun tawarannya ini sudah terlambat dan tidak berguna lagi.
“Buat apa terima jawatan TPM untuk dua tiga bulan waima setahun di mana tidak banyak perubahan yang boleh dibuat hanya untuk menyelamatkan Muhyiddin dan PPBM yang sedang tenggelam dan hampir karam,” katanya.
Malah jelas beliau untuk satu jawatan ini hanya untuk jangkamasa yang pendek, PPBM pastinya menuntut untuk Umno mengorbankan banyak perkara.
“Ini tidak menguntungkan malah merugikan kita dan akar umbi serta orang Melayu dalam jangkamasa sederhana, panjang atau selama-lamanya.
“Saya tidak rasa pemimpin-pemimpin Umno begitu naif dan mentah untuk galak dan teruja dengan tawaran terdesak dan terlambat Muhyiddin dan PPBM ini,” katanya.
Beliau tidak menolak jika Umno terima jawatan TPM ini, ia besar berkebarangkalian akan memecahbelahkan parti, malah majoriti akar umbi telahpun membuat keputusan menolak PPBM dalam mesyuarat-mesyuarat perwakilan baru-baru ini.
“Saya telah tekankan sebelum ini jika PPBM ikhlas mahu menyatukan orang Melayu dan bukan hanya pentingkan diri dan jawatan mereka (PPBM), mereka perlu bubarkan parti kecil mereka dan kembali ke pangkuan Umno.
“Tidak masuk akal untuk parti yang besar seperti Umno pula disuruh mereka (PPBM) untuk dibubar dan 3.8 juta ahli-ahli Umno dikerah masuk PPBM.
“Jika UMNO dibubar, 3.8 juta ahli UMNO tidak akan masuk PPBM tetapi akan bertempiaran dan berpecah belah dan banyak lagi parti serpihan akan ditubuh.
“Yang lebih masuk akal ialah PPBM yang kecil dan tidak berakar umbi perlu dibubar dan kembali kepada Umno sepertimana yang dibuat oleh parti Semangat 46 dahulu.
“UMno adalah parti yang besar dengan pucuk pimpinan di atas dan akar umbi yang kuat dan besar di bawah. Berbanding dengan PPBM yang tiada badan dan tiada kaki tetapi hanya besar di kepala.
“Umno adalah parti lama dan keramat, ia tidak akan korbankan maruah diri untuk menjadi badan dan kaki tangan kepada parti pengkhianat dan pemecah belah seperti PPBM,” kata beliau.
cybertrooper umno Free Malaysia Today Malaysiakini BM Perikatan Nasional Sinar Harian Tan Sri Muhyiddin Yassin umno