Najib Razak sedia memaafkan Dr Mahathir Mohamad jika pengasas parti Pejuang itu mengakui kesalahannya dan meminta maaf kepadanya terlebih dahulu.
“Pada amalan agama saya, memaafkan seseorang adalah tuntutan agama.
“Saya kira kalau dia buat salah ataupun berdosa pada saya, kalau dia minta maaf, saya pandu kepada agama, saya maafkan dia. Tapi kalau dia tidak maaf, dia cari saya di padang mahsyar nanti,” katanya dalam wawancara dengan portal berita Malaysia Gazette tempohari.
Najib mengakui beliau cukup marah dengan ahli Parlimen Langkawi itu kerana sering kali mengeluarkan kata-kata kesat dan tuduhan tidak berasas terhadapnya.
“Memang ada rasa marah, itu tidak dapat dielakkan sebab kata-kata dia terlalu kesat, keterlaluan dan tidak berasas, sukar diterima mana-mana manusia.
“Memang saya tak nafi, memang saya cukup marah dalam hati, tapi macam saya kata tadi, sebagai seorang yang mengamal agama, maka kalau dia minta maaf, saya sedia maafkan.”
Najib tidak menolak kemungkinan Mahathir menyerang dan terlalu berdendam dengannya kerana anaknya, Mukhriz tewas dalam saingan jawatan naib presiden pada pemilihan Umno 2013.
“Sampai hari ini, saya boleh andai saja. Kalau lihat, barangkali sebab dalam pemilihan parti di mana Mukhriz kalah jawatan naib presiden, jadi dia persalahkan pada saya.”
Ditanya sama ada beliau sedia bersemuka dengan Mahathir, ahli Parlimen Pekan itu berkata: “Saya tidak nampak dia mahu jumpa saya, banyak orang kata dia hati kering. Kalau itu sikap dia, tak guna kita bertemu. Tapi kalau terserempak, kita salam itu biasa.” katanya dalam wawancara bersama MalaysiaGazette tersebut.
Sementara, Mahathir ketika diwawancara Malaysia Gazette pula berkata, beliau tidak boleh memaafkan Najib yang didakwanya menghancurkan Umno.
“Tidak, itu berbeza. Saya tak boleh maaf orang yang hancurkan parti saya.
“Itu dia (Najib) buat, dia buat betul-betul sampaikan orang benci pada Umno,” katanya ketika ditanya jika beliau sedia memaafkan Najib sepertimana beliau memaafkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Najib yang dilantik sebagai perdana menteri dan presiden Umno dari 2009 hingga 2018, turut menyentuh cara Mahathir melemahkan parti itu pada 1999 dan politik wang dalam parti.
Katanya, pada Pilihan Raya Umum 1999, Mahathir mencetuskan kemarahan orang Melayu marah disebabkan krisisnya dengan Anwar yang merupakan timbalannya ketika itu.
“Barisan Nasional hilang sokongan orang Melayu dan yang menyelamatkan BN waktu itu (ialah orang) Cina dan India, dan salah satu sebab kerana rusuhan orang Cina di Indonesia yang menakutkan mereka di sini.”
Beliau berkata, sokongan orang Melayu kepada BN kembali pulih selepas Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai perdana menteri dan BN menang besar pada PRU 2004, tetapi sokongan itu kembali merosot pada 2008 akibat campur tangan Mahathir yang menyebabkan ia hilang majoriti 2/3 di Parlimen ketika itu.
Najib berkata, selepas mengambil alih pentadbiran negara, beliau membetulkan keadaan dan berjaya merampas kembali Perak, Kedah serta Terengganu, dengan orang Melayu menyokong BN, tetapi kemarahan orang Cina kekal sehingga hari ini.
Katanya, politik wang memuncak pada 1993 ketika Mahathir menjadi perdana menteri.
“Kalau masa itu siapa menjadi perwakilan, dia tahu politik wang agak serius dalam parti.
“Saya melakukan perubahan agak radikal, di mana pemilihan bukan lagi melibatkan 2,500 perwakilan, tetapi 150,000 perwakilan di peringkat bahagian, di mana tujuan utama nak elak politik wang dan memastikan pemilihan lebih demokratik.”
Najib berkata, beliau memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia bertentangan hak asasi manusia, dan ketika Mahathir berkuasa selama 22 tahun, media dikawal dan tiada media alternatif seperti sekarang untuk melaporkan skandal Mahathir.
Kekurangan berita tidak bermakna tiada skandal ketika zaman pemerintahan Mahathir, katanya merujuk skandal tukaran wang asing Bank Negara membabitkan kerugian RM33 bilion.
Beliau turut menolak dakwaan Mahathir yang kerajaan pimpinannya menyasarkan ramai musuk politik untuk dipenjarakan.
Katanya, Mahathir memenjarakan lebih 100 ahli politik di bawah ISA ketika Operasi Lalang pada 1987, termasuk pemimpin pembangkang.
Selepas BN kalah PRU14, beliau yang bukan lagi perdana menteri meminta isterinya, Rosmah Mansor tidak terlalu menonjol bagi mengelakkan persepsi tidak betul.
“Saya minta dia (Rosmah duduk) diam di rumah jaga cucu, biar saya turun ke medan, saya tidak mahu orang buat tafsiran tidak tepat.”
Najib turut menolak tuduhan Mahathir, beliau membeli undi rakyat menggunakan wang, termasuk melalui pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Saya bukan nak beli undi, falsafah ekonomi saya beza dengan Tun. Saya menggunakan hasil negara dan kita tolong mereka yang miskin, termasuk B40 supaya jurang dengan (golongan) kaya dapat dikurangkan.
“Malah, saya bantu semua, yang sokong pembangkang dapat BR1M. Teori ini Bank Dunia sokong, terbukti berjaya, malah masa saya jadi perdana menteri, kadar pertumbuhan kita atasi Singapura tiap-tiap tahun dan pernah jadi antara tertinggi di dunia.” Najib dipetik berkata.
Datuk Seri Najib Razak dr mahathir Free Malaysia Today Mahathir Mohamad Malaysiakini BM najib razak Politik