Syarikat guna pekerja asing murah, harga rumah tak murah juga - Tun Daim

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:32 PTG


Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin mendesak kerajaan mempamerkan iltizam politik untuk menamatkan kebergantungan ekonomi negara terhadap lambakan buruh murah dari negara luar.

“Buruh murah ini tidak memberi manfaat kepada rakyat.Walaupun dengan buruh murah, harga rumah adalah terlalu tinggi. Walaupun dengan buruh murah, harga makanan terus meningkat.

” Apa yang kita perlukan adalah iltizam politik untuk melakukan apa yang patut dan tidak berundur.

“(Kerajaan) mesti mengakui masalah (pekerja asing) dan mengambil langkah tegas walaupun sukar untuk memaksa pemain industri menerima norma baharu bahawa buruh murah bukan lagi sesuatu ‘automatik’ untuk diperolehi,” katanya kepada FMT.

Daim menjelaskan bahawa ketiadaan iltizam politik menangani masalah itu berkait rapat dengan keuntungan lumayan yang diraih oleh pelbagai pihak dalam membawa masuk pekerja asing.

“Satu sebab utama disebalik kurangnya iltizam politik dan punca penggunaan pekerja asing dengan upah murah berleluasa di negara ini adalah kerana ia menjadi sumber pendapatan haram yang sangat menguntungkan pihak tertentu.”

“Penglibatan pelbagai agensi dalam pengambilan buruh asing dan penguatkuasaan terhadap mereka membolehkan sistem yang ada dieksplotasi oleh pihak tertentu untuk meraih untung sehingga berbilion ringgit dengan cepat,” katanya lagi.

Bekas menteri kewangan itu diminta mengulas keghairahan majikan mengupah jutaan buruh warga asing dengan upah murah untuk bekerja dalam pelbagai sektor ekonomi negara.

Malaysia dianggarkan mempunyai kira-kira 2 juta pekerja asing sah, namun jumlah keseluruhan dianggarkan sehingga tiga kali ganda angka itu.

Lambakan buruh murah itu menyebabkan ramai majikan enggan beralih kepada penggunaan teknologi tinggi atau automasi, sekali gus mengurangkan daya saing Malaysia dalam ekonomi global.

Daim berkata, selagi majikan mudah memperolehi buruh asing dengan gaji murah, sektor perindustrian Malaysia akan lesu dan tidak berdaya saing atau berinovasi.

Beliau berkata dasar dan mekanisma pengambilan pekerja sedia ada perlu dirombak segera untuk menghentikan penganaiyaan ke atas buruh asing, selain membetulkan landasan ekonomi negara.

“Selagi majikan (dan) ejen pengambilan pekerja…mengelakkan pertanggungjawaban, keghairahan untuk mengaut keuntungan melampau, pemerdagangan manusia dan pengabaian undang-undang akan terus meningkat,” kata Daim.

Beliau berkata dasar yang jelas dan telus mengenai tenaga kerja amat diperlukan untuk mengekang ketidaktentuan pelabur dan sektor perniagaan.

Daim berkata dasar berkenaan juga akan membantu menyediakan perlindungan dan keselamatan untuk pekerja asing.

“Kita tidak boleh lupa bahawa mereka adalah manusia juga dan sumbangan mereka kepada negara kita harus diiktiraf.”

Daim berkata tidak ada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengupas isu pekerja asing.

Lagi pun, kata beliau, kerajaan sering tidak mengikuti saranan RCI di masa lalu.

” Malah, kita juga pernah melihat semasa tahun-tahun akhir Barisan Nasional, RCI disalahgunakan untuk menganiaya musuh-musuh politik.

Jadi, saya tidak percaya kita memerlukan RCI untuk isu ini,” kata Daim. - FMT