Bekas imam ditahan sorok syabu dalam botol susu

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:03 PTG
Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari berkata, suspek itu ditahan dengan syabu seberat 10.2 gram yang disimpannya di dalam botol susu. (Gambar Bernama)

LANGKAWI: Polis menahan seorang lelaki dan merampas dadah jenis syabu seberat 10.2 gram yang disimpan di dalam botol susu, selepas memeriksa sebuah inap desa dalam Ops Tapis di Jalan Pantai Chenang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari berkata, polis turut menemukan satu paket plastik dadah jenis syabu seberat 1.1gram dan satu peket plastik ganja seberat 3.5 gram pada lelaki berusia 36 tahun berasal dari Pulau Pinang itu, yang juga seorang bekas imam.

Beliau berkata terdahulu sepasukan aggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Langkawi telah melaksanakan Ops Tapis di sebuah bilik di inap desa kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan, polis menemukan satu paket plastik dadah jenis syabu seberat 1.1gram, satu paket plastik ganja seberat 3.5 gram dan 10.2 gram ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di dalam sebiji botol susu kaca,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurutnya saringan air kencing mendapati lelaki yang kini bekerja sebagai jurubekam itu positif dadah jenis methamphetamine, dan suspek kini direman selama lima hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Shariman berkata pada hari yang sama, polis turut menahan seorang lelaki berumur 45 tahun di Jalan Datai bersama 41 gram heroin dan 4.7gram syabu, pada jam 4 petang, dan kira-kira satu setengah jam kemudian seorang lagi lelaki berumur 37 tahun ditahan di jalan Telok Ewa, bersama 117.50 gram heroin dan 3.40 gram syabu.

Dadah yang dirampas daripada ketiga-tiga lelaki itu dianggarkan bernilai RM7,665.

“Kedua-dua suspek yang positif dadah jenis morfin direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - BERNAMA