Rumah terbakar, Ebit Lew bina untuk 3 beradik

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:22 PG

KOTA BHARU: Nasib pemuda orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan serta dua abangnya yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka didiami mereka dekat Kampung Pengkalan Nangka di sini hangus terbakar pagi semalam, mendapat perhatian pendakwa terkenal, Ustaz Ebit Lew

Terkesan dengan nasib tiga beradik berkenaan, Ebit Lew melantik seorang kontraktor untuk membina sebuah rumah baharu dengan kos RM70,000 dan pada masa turut menyumbang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss, bagi menggantikan motosikal roda tiga yang hangus terbakar dalam kebakaran itu.

BH Online melaporkan Ebit Lew berkata, beliau sebak sebaik ternampak gambar tular Mohd Yazid Mohd Noor, 30, yang juga OKU cacat penglihatan termenung di atas tangga batu rumahnya yang hangus terbakar.

"Syukur Alhamdulillah hari ini saya dapat membantu mereka dengan membina sebuah kediaman baharu di atas tapak rumah yang terbakar ini yang mempunyai kelengkapan tiga bilik serta dua bilik air.

"Pembinaan rumah baharu ini akan disegerakan dan pihak kontraktor yang dilantik menjangkakan ia akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga bulan," katanya selepas ditemui di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Yazid berkata, dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi semalam, dia sedang tidur di dalam sebuah bilik sebelum merasai bahang api pada bahagian muka serta badannya.

"Melihat keadaan api yang sudah marak, saya bergegas bangun dan mengejutkan dua orang abang iaitu Fakhru Razi, 36 dan Khairuzaman, 39, yang sedang tidur di dalam bilik masing-masing untuk segera menyelamatkan diri.

"Akibat insiden itu, kami tiga beradik tinggal sehelai sepinggang dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana memikirkan nyawa yang lebih utama.

"Saya buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan serta berasa sedih dan bagaikan tidak percaya bahawa rumah kami terbakar dalam sekelip mata," katanya dipetik BH Online.

Mereka tiga beradik kini tidak ada tempat berteduh dan hanya menumpang sebuah stor barang milik bapa saudara, Che Abd Halim Ibrahim, 60, yang tinggal bersebelahan rumah.

"Disebabkan dua abang yang tidak mempunyai pendapatan tetap kerana bekerjas sendiri, mustahil untuk kami membina rumah baharu di tapak rumah yang terbakar ini.

"Namun pada hari ini tanpa dijangka, Allah mengirimkan seorang hambaNya (Ebit Lew) yang tidak pernah jemu membantu golongan yang memerlukan dan bagaikan sebuah mimpi apabila Ebit Lew datang melawat kami dan bersetuju membina rumah baharu untuk kami tiga beradik berteduh," katanya.