Farid Kamil memuat naik entri dan foto bersama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam laman Instagram. - Foto IG Farid Kamil |
Aktor dan pengarah, Farid Kamil berlapang dada menerima keputusan Istana Pahang menarik balik gelaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepadanya.
Suami kepada aktres Diana Danielle berkongsi berita gelaran datuknya ditarik balik oleh Istana Pahang menerusi laman Instagram, malam ini.
"Saya amat berbangga dan berbesar membawa gelaran Datuk yang dikurniakan oleh Istana Pahang sejak 16 Disember 2017.
"Saya menjunjung kasih atas penganugerahan tertinggi dalam hidup saya dan menerimanya dengan penuh kerendahan diri, ketika itu.
"Hari ini, saya juga dengan penuh rasa hormat menerima keputusan Istana Pahang menarik balik gelaran DIMP yang membawa gelaran Datuk kepada saya," katanya dipetik BH Online.
Farid turut memaklumkan perkembangan karier seninya menerusi entri sama.
"Saya kini dalam usaha memasarkan filem Remp-it 2 yang akan menemui penonton dalam tahun ini juga," tulisnya lagi.
BERNAMA melaporkan hari ini, kerajaan negeri Pahang mengumumkan gelaran Datuk dikurniakan kepada Farid dan penerbit, Boy Iman atau Noruliman A Rahman ditarik balik dan dibatalkan.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, tarikh surat penarikan balik DIMP yang dikurniakan kepada Farid dan Boy itu berkuatkuasa pada 1 Februari lalu.Beliau berkata, penarikan darjah kebesaran itu sebagai menjunjung titah perintah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tiada alasan penarikan gelaran itu diberikan, namun difahamkan semua individu terlibat pernah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan seperti jenayah, menipu dan rasuah.
Berikutan dengan itu, Farid dan Boy Iman tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-undang Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang Negeri Pahang,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Pada 18 Ogos 2019, Kerajaan negeri Pahang mengisytiharkan beberapa pembaharuan dalam tatacara penganugerahan pingat dan darjah kebesaran negeri, yang antara lain menyatakan siasatan serta-merta perlu dibuat terhadap penerima darjah kebesaran yang dikaitkan dengan salah laku, ketidakjujuran, kekurangan integriti atau perkara yang mencemarkan nama baik penerima.
Farid Kamil gossip artis Gossip Artis Malaysia Malaysiakini BM Pahang