Polis tembak mati 4 suspek samun, seorang pegawai polis cedera ditikam

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:56 PG
 

Empat lelaki yang dipercayai suspek jenayah samun mati selepas berbalas tembak dengan pasukan polis yang turut menyaksikan seorang pegawai pasukan keselamatan itu cedera ditikam suspek dalam kejadian di Jalan Pagoh-Parit Sulong, di Batu Pahat awal hari ini.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam kejadian 3.15 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota polis menahan sebuah Toyota Avanza dan Perodua Myvi, masing-masing dinaiki dua lelaki, yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya ketika polis mahu membuat pemeriksaan, pemandu dan penumpang Toyota Avanza bertindak agresif dengan pemandunya mengeluarkan pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Pada masa sama, dua suspek yang menaiki Perodua Myvi bertindak menyerang polis menggunakan parang dan kelambit dalam usaha melarikan diri, dan dalam pergelutan itu seorang daripada suspek menikam pegawai kita sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.

Ayob Khan berkata bagi mempertahankan diri, pihaknya bertindak membalas serangan dengan melepaskan tembakan yang mengenai kesemua suspek.

Dia berkata berdasarkan pemeriksaan awal, polis percaya keempat-empat suspek yang berusia 23 hingga 40 tahun berkenaan merupakan warga asing.

Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek yang merupakan kenderaan curi menemukan beberapa peralatan yang disyaki digunakan dalam kegiatan samun dan pecah rumah, katanya.

“Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver serta empat butir peluru di lokasi kejadian selain enam kelongsong, dua bilah parang dan sebilah kerambit,” katanya.

Ayob Khan berkata kesemua mayat suspek dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk bedah siasat, sementara pegawai polis yang cedera diserang dengan kerambit itu dirawat di Hospital Batu Pahat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan. - Bernama