Pensyarah Universiti disyaki edar ganja ditahan polis

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:50 PG


Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar berkata, suspek disyaki melakukan kegiatan pengedaran dadah - Foto ihsan FMT

Seorang pensyarah sebuah universiti di Selangor ditahan polis selepas didapati mengedar ganja dalam Operasi Khas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Brickfields semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar berkata, pihaknya turut menahan remaja berusia 19 tahun di tepi jalan Kuchai Maju, yang membawa kepada penangkapan pensyarah berusia 31 tahun itu, yang disyaki pembekal dadah.

Hasil siasatan, remaja tersebut mengaku mendapat bekalan dadah MDMA melalui laman ‘dark web’ dan ganja diperolehi daripada seorang lelaki.

“Polis merampas satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki ecstasy seberat 16.65 gram.

“Siasatan lanjut kemudian menahan pensyarah berusia 31 tahun itu dan merampas ganja seberat 1,380 gram, serbuk ecstasy (3.3 gram), 10 biji kapsul ecstasy (3.17 gram) dan 19 keping dadah LSD,” katanya seperti dilapor FMT,

Anuar berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ganja dan dia direman seminggu bermula hari ini.

Nilai rampasan dadah adalah RM7,480, selain sitaan wang tunai RM2,000 dengan nilai keseluruhan rampasan RM9,480.

Katanya, suspek disyaki melakukan kegiatan pengedaran selama tujuh bulan dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket yang terbabit dan sumber bekalan diperolehi.

“Hasil tangkapan itu, polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan,” katanya.

Dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 500 pengguna dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.


KLIK BACA: Nazir Razak kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei