46 warga Nepal gantung diri tahun lalu, Kedutaan bimbang

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:40 PG


Kadar tinggi pekerja Nepal meninggal dunia di Malaysia membimbangkan pegawai di Kedutaan Nepal yang berkata, 46 daripada warganegaranya dilaporkan menggantung diri tahun lalu.

Free Malaysia Today mnelaporkan Setiausaha kedua kedutaan itu, Pratik Karki berkata, 46 kes itu antara 284 pekerja Nepal yang mati tahun lalu, manakala 49 daripada 298 pada 2019 dan 45 daripada 347 yang meninggal dunia pada 2018.

“Kami menerima purata kira-kira 20 kematian sebulan membabitkan warga Nepal, jadi ini satu lagi kebimbangan kami.”

Bagaimanapun, mereka tidak pasti jika sekatan pergerakan akibat Covid-19 dan kelewatan pulang ke tanah air antara faktor penyumbangnya, tetapi satu kes sedemikian dilaporkan Disember lalu.

Katanya, permit pekerja itu tamat tempoh kira-kira lapan bulan lalu, tetapi dipaksa terus bekerja walaupun beliau mahu pulang ke kampung halaman semasa pandemik. Nampaknya, beliau diberitahu ada kekurangan kakitangan kerana ramai yang bekerja dari rumah,” katanya kepada FMT.

Pratik berkata, sukar untuknya memahami kelewatan visa keluar kerana kerajaan membekukan pengambilan semua pekerja asing dan tidak memperbaharui permit kerja sedia ada.

Beliau turut meragui jika semua kes yang dilaporkan bunuh diri itu sebenarnya menggantung diri seperti yang dinyatakan dalam sijil mati mereka.

“Bagaimanapun, disebabkan ia adalah dokumen rasmi, kedutaan perlu akur.”

Beliau merasakan ada di antara mereka yang membunuh diri kerana kecewa tidak mendapat apa yang dijanjikan sebelum datang ke negara ini untuk bekerja.

“Orang Nepal secara dasarnya tegas dan budayanya ialah bersuara untuk hak mereka serta menuntut apa yang dihutang kepada mereka. Ini mungkin menyebabkan mereka berdepan masalah dengan majikan atau rakan sekerja dan menyebabkan rasa kecewa serta murung.”

Pratik berkata, pekerja perlu diberikan taklimat secara jujur, termasuk panduan psikologi mengenai tekanan bekerja di sini, sebelum mereka meninggalkan Kathmandu.

Katanya, ini perlu dilakukan secara berasingan daripada taklimat tiga hari sebelum bertolak yang sedang dilaksanakan sekarang.

“Bagaimanapun, saya percaya majikan dan ejen di sini juga perlu memikul sedikit tanggungjawab bagi memastikan mereka (pekerja) mempunyai kekuatan mental dan emosi untuk bertahan.”

Dalam perkembagan berkaitan, beliau berkata, masih ada 22 mayat pekerja Nepal yang belum dihantar pulang, tetapi Nepal Airlines berjanji akan membawa beberapa mayat dengan setiap penerbangan mereka yang beroperasi tiga kali seminggu.- FMT

KLIK BACA: Nazir Razak kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei