Penjawat awam disyaki beri kontrak kepada ahli keluarga ditahan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:23 PG

Penjawat awam ditahan SPRM disyaki beri kontrak kepada ahli keluarganya. - Foto hiasan FMT

Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya untuk memberi beberapa kontrak bernilai kira-kira RM36,000 kepada ahli keluarganya.

Sumber FMT berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan 12.15 tengah hari tadi di pejabat SPRM Sabah.

“Suspek ditahan kerana memberikan beberapa kontrak pembekalan dan pembaikan peralatan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) serta pembekalan makanan dengan jumlah keseluruhan melebihi RM36,000 kepada ahli keluarganya,” kata sumber itu.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek itu.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya kerana masih terdapat kakitangan awam yang menggunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri dengan memberikan kontrak kepada ahli keluarga.

“Ia merupakan satu kesalahan mengikut Sekyen 23 Akta SPRM 2009, walaupun ingatan demi ingatan diberikan kepada pejawat awam tetapi ia masih berlaku,” katanya dipetik FMT.

KLIK BACA: Tun Mahathir - Kerajaan PN terpalit kronisme beri projek kepada saudara mara? 

FMT melaporkan, Karunanithy juga mengesahkan dua lagi individu ditahan susulan penahanan empat kakitangan sebuah agensi kerajaan persekutuan di Sabah berhubung kesalahan mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu, beberapa hari lalu.

Katanya, kakitangan dari agensi sama berusia 39 dan 41 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari di Pejabat SPRM Sabah, hari ini.

“Dua suspek terbabit juga ditahan kerana kesalahan sama iaitu Sekyen 18 Akta SPRM 2009.

“Semua mereka akan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan akan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu,” katanya.

Baru-baru ini, empat kakitangan sebuah agensi kerajaan ditahan SPRM Sabah selepas disyaki mengemukakan tuntutan elaun perjalanan palsu bagi tugasan rasmi di seluruh negara.

KLIK BACA: Tun Mahathir - Kerajaan PN terpalit kronisme beri projek kepada saudara mara?