Annuar Musa didakwa langgar SOP PKP - Foto FMT |
Polis akan memanggil Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa untuk memberikan keterangan mengenai dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) selepas gambar beliau bersama enam yang lain duduk di dua meja jamuan tular di media sosial.
Polis sedang menjalankan siasatan susulan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, satu laporan polis berkenaan perkara itu diterima polis di Cheras.
"Kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut. Polis akan merakam keterangan beliau (Annuar) secepat mungkin," katanya pada Ahad.
Sebelum ini, tular di media sosial Annuar bersama beberapa individu lain duduk di meja sambil menikmati jamuan tanpa penjarakan fizikal.
Foto itu memaparkan sepanduk menyambut Annuar ke majlis Program Pertanian Bandar bertarikh 13 Februari 2020 di Desa Petaling di sini.
Di bawah peraturan PKP, hanya dua orang yang dibenarkan setiap meja di mana-mana restoran atau premis makanan.