Sekumpulan penduduk yang pergi ke pekan Tenom membeli barang keperluan dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP). - Foto FMT
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali mempertahankan tindakan pihaknya mengenakan kompaun RM1,000 terhadap lapan penduduk pedalaman negeri ini yang keluar membeli barang keperluan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
Hazani bersimpati dengan penduduk terbabit, namun menegaskan ia dibuat demi memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Menjelaskan kejadian pada 27 Jan itu, Hazani berkata penduduk kampung berkenaan menaiki kenderaan “sapu” atau tanpa permit, menuju ke pekan Tenom untuk membeli barang keperluan.
“Pemandu ‘kereta sapu’ ini cuba mengaut untung lebih dengan membawa lebih 50% daripada kapasiti penumpang yang dibenarkan.
“Kompaun diberikan kepada pemandu terbabit, begitu juga dengan penumpangnya kerana mereka juga didapati melanggar SOP.
“Saya sangat bersimpati kepada penduduk kampung ini, mereka tidak tahu sangat (berkenaan SOP) tetapi oleh kerana si pemandu kereta sapu yang mahu mengaut untung lebih, polis kena ambil tindakan,” katanya di petik FMT pada sidang media di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Sabah.
Hazani berkata, berikutan kejadian yang tular itu, beliau menyeru pemimpin peringkat komuniti supaya meningkatkan kesedaran berkaitan SOP kepada penduduk kampung supaya kejadian sama tidak berulang.
Katanya, kejadian itu ada kaitan dengan kurangnya pemahaman penduduk kampung khususnya di pedalaman berhubung SOP serta PKP yang sedang berkuatkuasa.
“Pemimpin komuniti seperti ketua kampung, JKKK (jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung) dan lain-lain perlu memainkan peranan untuk memperluaskan serta meningkatkan kesedaran penduduk kampung,” katanya.
Dalam pada itu, Hazani turut berpendapat kejadian berkenaan yang ditularkan adalah satu bentuk provokasi terhadap pasukan keselamatan yang selama ini banyak menggunakan budi bicara dalam menguatkuasakan PKP.
“Jika polis melaksanakan sepenuhnya SOP PKP yang dikuatkuasakan selama ini, maka lebih banyak kompaun akan dikenakan.
“Sehubungan itu, polis kontinjen Sabah menasihatkan orang awam terutama rakyat di negeri ini agar patuh SOP yang dikuatkuasakan dalam usaha melandaikan pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan penduduk kampung di Tenom meluahkan kesedihan kerana dikompaun RM1,000 untuk ke pekan bagi membeli barang keperluan.
Lapan penduduk itu termasuk warga emas dari beberapa kampung. Mereka ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Tenom untuk dikeluarkan kompaun kerana bas dinaiki melebihi kapasiti 50% penumpang seperti ditetapkan.
Mereka mendakwa tindakan melakukan perjalanan ketika itu kerana kesukaran untuk berulang-alik dengan kerap berikutan jarak ke pekan Tenom dari kampung agak jauh.
Covid-19 Harian Metro Malaysiakini BM polis diraja malaysia sabah Sinar Harian