Artini Dzolkarnaini adalah jururawat program pemulihan jantung di Jabatan Perubatan Pemulihan, Pusat Pakar Perubatan UiTM Sungai Buloh. - Foto Facebook
SUNGAI BULOH: Seorang jururawat meninggal dunia, dipercayai akibat komplikasi Covid-19, namun anak kelimanya selamat dilahirkan menerusi pembedahan caesarean.
Artini Dzolkarnaini yang bertugas di Jabatan Perubatan Pemulihan, Pusat Pakar Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh, meninggal dunia awal pagi tadi.
Pemergian petugas barisan hadapan itu dimaklumkan menerusi Facebook Fakulti Perubatan UiTM.
“Dukacita dimaklumkan Artini Dzolkarnaini telah meninggal dunia di Hospital UiTM pada 5.30 pagi tadi.
“Seluruh warga Fakulti Perubatan UiTM ingin merakamkan ucapan salam takziah. Kami mendoakan semoga roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” menurut kenyataan itu.
Harian Metro melaporkan Artini dijangkiti Covid-19 ketika mengandung 30 minggu, berdasarkan beberapa komen balas daripada rakan dan keluarganya di Facebook.
Bayi Artini berjaya diselamatkan secara pembedahan caesarean dan kini ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) hospital berkenaan.
Artini adalah jururawat program pemulihan jantung dan ibu kepada lima anak, termasuk bayi yang baru dilahirkan.