Fitnah Husam projek kambing, mahkamah perintah lelaki bayar RM155 ribu dengan kos

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:00 PTG
Datuk Husam Musa bersama kambing Jamnapari - Foto AMANAH Blog

KOTA BHARU: Rayuan untuk taksiran gantirugi berhubung kes saman fitnah pimpinan AMANAH, Datuk Husam Musa terhadap Masri Che Yusoff berjumlah RM50,000 telah diketepikan dengan award (global damages) sebanyak RM150,000 dan kos sebanyak RM5,000.

Peguam mewakili Husam, Faiz Fadzil memberitahu demikian hari ini selepas prosiding bicara secara atas talian sebentar tadi, lapor portal Malaysia Dateline.

“Alhamdulillah, rayuan untuk taksiran gantirugi berjumlah RM50,000 telah diketepikan dengan award (global damages) sebanyak RM150,000 dan kos sebanyak RM5,000.

“The truth will prevail and never surrender!” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Faiz memberitahu walaupun sepatutnya kes saman fitnah terhadap bekas pengetua sekolah agama di Kelantan itu didengar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tetapi beliau hanya boleh berada di pejabat Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir.

Malaysia Dateline melaporkan saman fitnah difailkan Husam yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu dikemukakan terhadap Masri susulan satu tulisan berunsur fitnah di Facebook .

Masri ketika itu merupakan ahli jawatan kuasa Pas Kawasan Ketereh dan ahli Dewan Ulamak Pas Kelantan.

Difahamkan, dia juga Penolong Kanan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman di Kampung Kok Lanas, Kelantan.

Masri melalui akaun Facebook miliknya pada 27 Oktober 2015 menyiarkan gambar dan tulisan yang menuduh Husam secara salah memberikan tanah seluas 414.37 hektar kepada sebuah syarikat.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Jun 2018 telah menolak keterangan Masri bahawa Husam mempunyai kepentingan dan projek kambing Jamnapari di bawah program Jihad Ternak.

Mahkamah telah memutuskan bahawa semua tuduhan tersebut adalah tidak berasas.