Denda RM10,000 langgar PKP, bukti Parlimen perlu segera bersidang, kata DAP

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:15 PTG
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata hanya golongan berpendapatan rendah dan rakyat biasa akan dikenakan hukuman lebih keras itu. - Foto Mole.my

DAP membantah keputusan Putrajaya meningkatkan kadar denda RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi syarikat yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP), sekali gus memberi gambaran betapa pentingnya untuk persidangan Parlimen dikembalikan segera.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, sekiranya Parlimen dikembalikan, ia membolehkan langkah serta keputusan itu diperdebatkan sepenuhnya di Dewan Rakyat, secara tidak langsung dapat melindungi hak rakyat susulan kemerosotan ekonomi ketika ini.

“Peningkatan hukuman yang begitu keras seperti ini tidak akan membantu mengekang kenaikan jumlah jangkitan Covid-19, apabila terdapat amalan dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang. Sebenarnya, bukan nilai jumlah hukuman tetapi penguatkuasaan undang-undang yang sama rata dan adil adalah lebih penting.

“Hanya golongan berpendapatan rendah dan rakyat biasa akan dikenakan hukuman lebih keras ini. Hanya menteri yang mampu membayar denda kompaun RM10,000, sedangkan rakyat biasa sudah tidak mampu membayar denda kompaun sebanyak RM1,000, apatah lagi RM10,000,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, berdasarkan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 yang baharu, diterbitkan di laman web Warta Persekutuan menyatakan, individu melanggar peraturan PKP boleh didenda sehingga RM10,000.

Ordinan itu turut menyatakan syarikat yang melanggar peraturan PKP boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000. Ordinan itu akan berkuat kuasa 11 Mac depan.

Ia merangkumi pindaan terhadap penalti umum mengikut Seksyen 24, dengan menyatakan mana-mana orang melakukan kesalahan bawah akta itu, “yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata” boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun.

Lim berkata, Perikatan Nasional (PN) perlu sedar tindakan salah urus krisis kesihatan Covid-19 menyebabkan negara mengalami krisis ekonomi dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) menyusut dan kadar pengangguran turut mencecah sehingga 4.5% tahun lalu.

“Menteri tidak mungkin dikenakan hukuman keras seperti rakyat biasa kerana melanggar sekatan PKP,” katanya yang turut memberi contoh kes membabitkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Beliau berkata, pindaan baharu yang bermula 11 Mac tidak memerlukan sebarang waran malah kesalahan terhadap sekatan PKP boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika kes dibawa ke mahkamah.

“Muhyiddin sudah memberi alasan bahawa kuasa darurat akan membenarkan kerajaan menjatuhkan hukuman lebih keras terhadap mereka yang melanggar SOP. Oleh kerana objektif ini telah tercapai, masihkah ada keperluan untuk darurat dan penggantungan Parlimen,” katanya.

Sumber: Free Malaysia Today