PUTRAJAYA: Hanya empat dalam sejuta orang yang diberi vaksin Covid-19 akan mengalami kesan sampingan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah petang ini.
Namun hingga kini, Noor Hisham berkata beliau belum mendengar mereka yang telah divaksin mengadu mengenai kesan sampingan.
“Dan ini adalah perkembangan positif,” katanya dalam dialog malam ini ketika mengongsikan pengalamannya menerima suntikan inokulasi.
Tambah Noor Hisham, walaupun kes seperti itu adalah terpencil, kementerian telah menyediakan ruang khas untuk mereka yang mengalami alahan terhadap vaksin tersebut.
Katanya, individu terbabit akan dipantau selama 15 hingga 20 minit.
Beliau berharap lebih ramai lagi yang akan tampil untuk mendaftar vaksinasi melalui MySejahtera.”
Noor Hisham berkata, mereka yang menderita HIV akan diberi vaksin jika mereka tidak mempunyai “masalah kesihatan”.
Peraturan sama turut terpakai untuk pesakit barah, katanya.
Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Keong berkata, lebih daripada 99% mereka yang mengalami kesan sampingan, akan bersifat ringan hingga sederhana.
“Tetapi jika sekiranya alahan yang teruk berlaku, semua pusat vaksinasi bersiap sedia untuk menanganinya.”
Sementara itu, penolong ketua pengarah kanan Bahagian Kawalan Penyakit kementerian Dr A Maheshwara Rao berkata, kira-kira 1,065 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
Katanya “semakin ramai” berbuat demikian, dengan sekitar 300,000 sehari mendaftar untuk divaksinasi.
Maheshwara turut mendedahkan bahawa 21 juta orang telah memasang aplikasi MySejahtera dengan sejumlah 30,000 hingga 40,000 muat turun setiap hari.
“Kami melihat ramai bukan warganegara Malaysia memuat turun aplikasi itu kini.”
Sumber: Free Malaysia Today