"Buku Tommy Thomas fitnah jenayah terhadap saya," kata Apandi Ali

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:52 PG
Mohamed Apandi Ali membuat laporan polis terhadap Toomy Thomas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali membuat laporan polis terhadap Tommy Thomas atas dakwaan penggantinya itu melakukan tiga kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dalam memoirnya.

Portal Free Malaysia Today melaporkan Apandi yang ditemani peguamnya, Baljit Singh Sindhu membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Katanya, beliau terpanggil membuat laporan polis selepas membaca dan meneliti memoir Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” yang didakwa mengandungi tuduhan dan tohmahan tidak berasas terhadapnya.

“Lebih teruk dari itu, saya menyatakan buku berkenaan mengandungi fitnah jenayah terhadap saya, terutamanya dalam muka surat 199.

“Saya percaya fitnah jenayah berkenaan adalah satu kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” menurut salinan laporan polisnya dipetik FMT.

Apandi dilaporkan juga mahu pihak berkuasa memastikan semua individu dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku itu mendapat keadilan sewajarnya, terutama pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara.

Apandi dalam laporan polisnya turut berkata, Thomas mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk kepada undang-undang kerahsiaan negara, termasuklah perbincangan dalam mesyuarat Kabinet dan urusan berkaitan jawatannya selaku peguam negara ketika itu.

Katanya, biarpun bukan lagi peguam negara, Thomas masih tertakluk kepada sumpah memegang rahsia yang dibuatnya ketika memegang jawatan itu.

“Pendedahan itu pada hemah saya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

“Apa yang terkandung dalam buku Thomas menunjukkan sifat beliau memandang rendah dan tidak menghargai individu yang merupakan tulang belakang perundangan negara.

“Walaupun saya dilemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah semasa menjadi peguam negara, namun saya tidak pernah sesekali melepaskan satu pun cerita atau maklumat dalam buku atau memoir kerana saya tahu ia adalah rahsia negara.”

Beliau berharap polis akan menjalankan siasatan rapi terhadap isi kandungan buku itu, termasuk perbuatan jenayah yang didakwa dilakukan penulis dan penerbitnya.