Idrus Harun bangga pegawai Jabatan Peguam Negara menang kes berprofil tinggi memihak kerajaan, Thomas dilihat menghina mereka

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:07 PG
Peguam Negara Idrus Harun dan pendahulunya Tommy Thomas - Foto MyKMU

Peguam Negara Idrus Harun menyifatkan buku tulisan Tommy Thomas sebagai penghinaan ketara kepada institusi perundangan negara selain menjejaskan moral dan semangat pegawai undang-undang.

Dalam satu kenyataan, Idrus juga menzahirkan keyakinan sepenuhnya terhadap pegawai undang-undang yang menjadi sasaran Thomas dalam bukunya, “My Story: Justice In The Wilderness”.

“Saya tiada keraguan mengenai kebolehan, kemahiran, komitmen, dan dedikasi pegawai undang-undang dalam memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan adil dan saksama tanpa gentar atau pilih kasih,” katanya.

Idrus tidak terpengaruh dengan kandungan buku Thomas itu yang “jelas menunjukkan pemikiran yang dangkal daripada pengalaman yang singkat oleh orang yang tidak memahami tentang institusi perkhidmatan awam, terutamanya Jabatan Peguam Negara dan fungsi peguam negara itu sendiri.”

Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) pula, menyelar Thomas kerana dilihat menghina pegawai undang-undang secara keseluruhan dalam buku itu.

Menurut JALSOA, kenyataan Thomas menggelarkan pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara sebagai hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran bersifat dangkal dan tidak bertamadun.

Idrus menambah,  pegawai undang-undangnya mempunyai rekod membanggakan dalam menegakkan keadilan.

Malah beliau amat berbangga dengan kebolehan dan dedikasi pegawai undang-undang yang bertindak cemerlang dalam menangani isu-isu yang dihadapi negara.

“Malah saya amat berbangga, sejak buku itu dikeluarkan, pegawai Jabatan Peguam Negara memperoleh keputusan kes berprofil tinggi yang memihak kerajaan.

“Ini jelas menunjukkan kebolehan dan keupayaan pegawai undang-undang dalam mengendalikan kes-kes mahkamah adalah standing, malah lebih baik daripada peguam swasta,” tambah beliau.