Kerajaan PN kena belanja rakyat jangan kedekut. kata bekas Menteri Kewangan Guan Eng

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:43 PG
Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa kerajaan supaya melaksanakan dasar ekonomi radikal berbanding daripada berjimat cermat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kerajaan sepatutnya tidak perlu terikat dengan sasaran defisit yang membelenggu mereka ketika ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu lebih banyak berbelanja dan jangan kedekut bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat yang merana dalam kelembapan ekonomi memandangkan ia adalah masalah yang terbesar dihadapi Malaysia ketika ini.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlalu berjimat cermat sampai takut untuk berbelanja besar demi kepentingan rakyat.

“Sasaran defisit ini boleh diselesaikan kemudian. Apa yang penting ada tahap kelangsungan hidup rakyat sekarang.

“Jika kerajaan tak membelanjakan wang yang cukup, masalah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang akan wujud kembali dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dipetik Sinar Online dalam Program Minda Profesor Negara yang disiarkan secara langsung di Facebook Majlis Profesor Negara pada Khamis.

Guan Eng berkata, perkara tersebut pernah diusulkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun tidak pernah dilaksanakan oleh beliau.

Ahli Parlimen Bagan Guan Eng turut berkata, kerajaan perlu membantu syarikat swasta yang terkesan, bantuan seperti moratorium atau pemberian secara langsung kepada syarikat yang terkesan dilihat mampu membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kalau kita nak selamatkan pekerja kita kena pastikan syarikat-syarikat yang terkesan masih selamat supaya mereka boleh meneruskan perniagaan mereka.

“Tanpa lanjutan moratorium dan bantuan secara terus, saya beranggapan ramai syarikat tidak akan survive, contohnya seperti industri pelancongan yang mencatatkan kerugian 100 bilion," tegasnya.