Wanita rayu bantuan rumah dilelong akibat pemaju gagal bayar pinjaman bank

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:14 PTG
Jayainthy Subramaniam berkata, beliau sudah membuat bayaran penuh untuk rumahnya, tetapi ia dilelong bank dalam pertikaian dengan pemaju.

GEORGE TOWN: Seorang wanita yang rumahnya dilelong walaupun sudah membuat bayaran penuh selepas pemaju gagal membayar pinjaman bank berkata, beliau buntu kerana tiada pihak berkuasa tampil membantunya.

Pembeli rumah itu, Jayainthy Subramaniam, mempersoalkan kurang tindakan daripada polis terhadap pemaju itu selepas beliau membuat laporan pada 16 Dis lalu mendakwa pemaju itu menipunya.

Katanya, sejak itu, beliau diberitahu penyiasat yang kes itu sudah dirujuk kepada tribunal perumahan awal bulan ini.

“Kenapa polis tidak mencari pemaju itu dan mendakwa mereka? Kes saya dalam bidang kuasa polis untuk menyiasat.

“Malah, Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan merasakan saya mempunyai kes. Apa yang saya perlu lakukan di tribunal perumahan apabila kes itu melepasi had masa tindakan?” soalnya.

Rumah satu tingkat Jayainthy di Lunas, Kedah dilelong sebuah bank pada 9 Dis lalu kerana bayaran berperingkat kepada pemaju, Lunas Garden Sdn Bhd tidak pernah sampai kepada bank.

Katanya, beliau sudah membayar hartanah dengan wang tunai melalui bayaran berperingkat selama tiga tahun yang berjumlah RM78,850 sebelum projek itu disiapkan pada 2004.

Apabila beliau cuba menuntut hartanah itu, katanya, bank meminta beliau membayar wang tebusan kira-kira RM100,000, faedah tertunggak dan caj lain, walaupun menunjukkan bukti dalam bentuk resit untuk semua bayaran yang dibuat kepada pemaju.

RHB Bank memberitahu FMT, ia tidak mampu membantu kerana Jayainthy bukan pelanggannya dan tidak tahu mengenai perjanjian yang ditandatangani Jayainthy dengan Lunas Garden.

Jayainthy berkata, walaupun peguam mencadangkan beliau menyaman peguam yang menyediakan perjanjian jual beli itu, tetapi beliau tiada wang untuk berbuat demikian.

Katanya, beliau membelanjakan “ribuan ringgit” daripada simpanannya sebelum ini untuk Mahkamah Tinggi mengkaji semula kesnya, tetapi ia ditolak dengan kos pada 2017 dan pemaju tidak hadir di mahkamah.

“Saya merayu pihak berkuasa tolong bantu saya.”

FMT sudah menghubungi polis serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendapatkan komen.