Anggota Polis IPD Klang meninggal dunia ketika jalani kuarantin COVID-19 di rumah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:03 PG
SHAH ALAM, 28 Jan - Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan meninggal dunia malam tadi ketika menjalani kuarantin di rumah selepas didapati positif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata anggota polis berusia 53 tahun itu meninggal dunia pada 9 malam.

"Allahyarham adalah Pengawal Pengiring (Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam) IPD Klang Selatan dan saya sahkan beliau sedang menjalani kuarantin akibat positif COVID-19 bermula 23 Jan hingga 1 Feb.

"Sama ada kematiannya akibat COVID-19, saya tidak boleh sahkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Malaysia hari ini merekodkan pertambahan 4,094 jangkitan baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Pertambahan angka berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara kini mencecah angka 198,208 kes.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), daripada 4,04 jangkitan baharu itu, sebanyak lapan kes import dilaporkan sementara selebihnya merupakan penularan tempatan.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 43,192 kes," kata laporan KKM pada Khamis.

Sementara itu, jumlah korban akibat pandemik berkenaan juga terus mencatat peningkatan apabila sebanyak 10 kematian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah sebanyak 717 kes.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 303 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 118 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala jumlah kes sembuh terus catat peningkatan sebanyak 3,281 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini sebanyak 154,299 kes.

Mengenai penularan jangkitan COVID-19 mengikut negeri, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,577 kes diikuti Johor (717 kes) dan Kuala Lumpur (678 kes). - Bernama