SEPANG: Perogol bersiri rakyat Malaysia, Selva Kumar Subbiah tiba di tanah air pagi Selasa.
Selva Kumar, 57, dihantar pulang ke Malaysia selepas selesai menjalani hukuman penjara 24 tahun di Toronto, Kanada atas 30 pertuduhan jenayah seksual terhadap wanita.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan bahawa Selva Kumar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 7 pagi Selasa.
"Saya dimaklumkan dia sudah tiba di KLIA. Namun, saya tidak boleh mengulas lanjut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Petugas media berada di balai ketibaan lapangan terbang tersebut tetapi kelibat lelaki itu tidak kelihatan.
Berasal dari Pulau Pinang, Selva Kumar merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Dia mempunyai dua abang dan seorang adik perempuan.
Dia datang dari sebuah keluarga yang bekerja sebagai pendidik di mana mendiang bapanya merupakan pegawai kanan pendidikan di Jabatan Pendidikan Pulau Pinang.
Malah, mendiang abangnya juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah di negeri itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan Selva Kumar akan dipantau secara rapi sebaik sahaja lelaki itu tiba di tanah air.
"Kami akan memantau Selva Kumar berdasarkan rekod jenayah dan perundangan serta bidang kuasa yang kita miliki.
"Pihak polis (Malaysia) juga akan mengambil keterangan daripada Selva Kumar.
"Kami akan meminta rekod Selva Kumar dari pihak berkuasa Kanada," kata Khalid.
Selva Kumar didapati bersalah dalam dua perbicaraan berasingan lebih dua dekad lalu kerana memberikan dadah dan melakukan serangan seksual terhadap 30 wanita.
Tetapi mungkin terdapat beratus-ratus lagi mangsa, pendengaran diberitahu.
Ketika pendengaran pada Jun 2016, dia didapati tidak layak untuk parol kerana dianggap 'mungkin akan melakukan sesuatu kesalahan yang menyebabkan kematian atau kemudaratan yang serius kepada orang lain.'
Dia sebelum ini telah menyatakan bahawa dia akan menjadi mangsa diskriminasi di Malaysia kerana dia berfahaman Yahudi
Selva Kumar, yang diketepikan hak untuk mempunyai seorang peguam, tidak berjaya menyekat akhbar daripada melaporkan butiran pendengarannya atau daripada gambarnya dirakam pada Isnin dengan alasan ia akan membahayakan dirinya. - mStar
KLIK BACA: PAS ikut jejak Rasulullah berpolitik secara matang, harap lahir penyokong Islam dari sulbi Umno
KLIK BACA: “IPIC, 1MDB bertelagah selepas AS$3.5 bilion yang sepatutnya dibayar dilapor hilang” - Reuters
Berita Harian Harian Metro Jenayah polis diraja malaysia Rogol