Perogol Bersiri, Selva Kumar Dilarang Masuk Sabah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:38 PTG
 
KOTA KINABALU: Perogol bersiri yang tamat menjalani hukuman 24 tahun penjara di Kanada,
Selva Kumar Subbiah akan dilarang masuk ke Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Menyifatkan bekas banduan itu sebagai individu yang berisiko tinggi, Musa berkata, kerajaan negeri memutuskan perintah larangan itu kerana menganggap lelaki berusia 56 tahun itu boleh membahayakan penduduk negeri itu terutama wanita dan kanak-kanak.

Selva Kumar yang dijatuhi hukuman penjara kerana puluhan kesalahan seksual pada lewat 1980an dan 1990an ketika bertugas sebagai ejen modeling, penerbit filem dan penari profesional telah dihantar pulang ke negara ini.

Selva Kumar dijangka tiba di Kuala Lumpur pada pagi Selasa.

"Kita tidak boleh mengambil risiko dengan membenarkan individu membahayakan itu bebas di negeri ini. Kita perlu melindungi penduduk Sabah," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, arahan melarang kemasukan Selva Kumar ke negeri berkenaan telah dikeluarkan kepada Jabatan Imigresen Sabah dan ia berkuatkuasa serta-merta.