Barisan Nasional (BN) membidas pembangkang kerana memutarbelitkan kenyataan mengenai kenaikan harga bahan api dan meminta mereka memohon maaf kepada umum kerana memberi maklumat yang mengelirukan.
Pasukan Komunikasi Strategik BN berkata, setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah membuat kenyataan yang bercanggah mengenai isu itu baru-baru ini.
"Dua hari lepas, Tony Pua dan Wan Azizah berkata kerajaan tidak mempunyai alasan untuk menaikkan harga runcit petrol pada Februari kerana harga minyak mentah jatuh pada Januari.
"Hari ini, selepas diberitahu oleh kami bahawa harga petrol adalah berdasarkan harga minyak yang ditapis dan bukan minyak mentah, Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini (Khamis) tiba-tiba bersetuju dan mengaku bahawa harga minyak ditapis telah meningkat pada Januari berbanding bulan sebelumnya.
"Ini bermakna kenyataan Tony Pua dan Wan Azizah sebelum ini bahawa tiada alasan bagi menaikkan harga minyak adalah salah," kata pasukan itu dalam satu kenyataan, Khamis.
Pasukan itu berkata menerusi sistem pengapungan terurus dan sistem APM, harga akan naik dan turun berdasarkan harga petrol ditapis global, dengan itu harga bulanan petrol tidak sepatutnya menjadi isu untuk dipolitikkan oleh pembangkang setiap bulan.
Selain itu, mereka berkata Malaysia secara konsisten berada dalam ranking antara 14 negara teratas bagi harga runcit petrol termurah dalam kalangan 180 negara di dunia. - Bernama
KLIK BACA: Pemimpin PAS pilih jalan mudah serang Tun Mahathir yang berusia 91 tahun - Raja Bahrin
KLIK BACA: “IPIC, 1MDB bertelagah selepas AS$3.5 bilion yang sepatutnya dibayar dilapor hilang” - Reuters
barisan nasional Berita Harian Datuk Seri Najib Razak Minyak Naik PKR tony pua