Isteri belasah teman wanita suami paksa minum cecair

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:33 PG

KUALA TERENGGANU - Gara-gara menjalin hubungan cinta dengan ‘suami orang’, seorang wanita dipukul dengan kayu kriket dan dipaksa minum sejenis cecair oleh isteri kepada teman lelakinya, dalam kejadian di bandar raya di sini, Ahad lalu lapor Sinar Harian.

Kejadian jam 7.20 petang berlaku ketika mangsa, 28, berada di rumah sewanya di bandar raya di sini, sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua wanita yang mana salah seorang amat dikenalinya.

Menurut sumber, tanpa memberitahu tujuan ke rumah tersebut, wanita berusia 24 tahun itu terus menyerang dengan memukul kepala dan belakang badan mangsa menggunakan sebatang kayu kriket yang memang sengaja dibawanya.


“Disebabkan pukulan yang terlalu kuat itu, mangsa terus rebah ke lantai koridor dan seterusnya suspek tanpa belas simpati memasukkan sejenis cecair yang dibawa ke dalam mulut wanita itu,” katanya.

Sumber berkata, mangsa bernasib baik apabila cubaan suspek untuk memukulnya lagi berjaya dihalang beberapa jiran dan rakan yang datang selepas mendengar jeritan meminta tolong.

Akibat kejadian, mangsa dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, sebelum menceritakan insiden berlaku kepada pegawai perubatan bertugas.

Selepas pemeriksaan dibuat, pegawai perubatan bertugas membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan kes masih dalam siasatan.

Dalam perkembangan sama, susulan laporan diterima, suspek yang berasal dari Besut ditangkap pada Isnin lalu, kira-kira jam 2 petang untuk siasatan lanjut.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membenarkan suspek ditahan reman sehingga 13 Febuari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.