Cuaca Mencecah 2°C Di Puncak Gunung Kinabalu, Lopak Air Dan Embun Membeku

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:55 PG

Pendaki-pendaki ke puncak Gunung Kinabalu pada bulan ini nampaknya berpeluang untuk melihat sebahagian kawasan Low Peak gunung berkenaan membeku susulan suhu puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu kembali mencatat suhu yang sejuk.

Apa yang menarik permukaan pada kolam, lopak air dan embun berdekatan puncak gunung itu juga membeku seperti mana tanah tinggi di Asia Tenggara lain kesan tiupan angin sejuk dari Siberia.

Memetik laporan mStar, Presiden Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi berkata, situasi yang dialami ketika ini dianggap sebagai sesuatu yang berbeza.

"Cuaca sejuknya berbeza sekali tetapi ia tidak mengganggu aktiviti pendakian ke puncak gunung," katanya.

Pengurus Taman Kinabalu Sabah, Yassin Miki berkata, suhu di gunung itu pernah mencecah di bawah paras sifar Celsius.

"Keadaan air membeku menjadi ais adalah satu fenomena kerana kedudukan kita di tengah Asia Tenggara yang sentiasa panas dan lembap," katanya.

Hasil carian kami cuaca semasa freemeteo.co.id, kira-kira jam 10 pagi sebentar tadi, suhu semasa puncak Kinabalu adala 2°C.

Suasana ini merupakan satu pengalaman menarik bagi pendaki-pendaki tempatan kerana ianya tidak akan dijumpai di tempat lain di Malaysia, bahkan pokok-pokok yang hampir beku seolah-olah ianya diselaputi salji.

Memetik laporan Bernama, puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari aras laut disahkan tempat paling sejuk di Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail berkata, suhu Gunung Kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara ini boleh turun mencapai dua darjah selsius.

"Secara amnya suhu akan turun dengan kadar 6.4 darjah selsius untuk setiap kilometer ketinggian. Justeru, tempat paling sejuk di Malaysia adalah puncak Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4,095 meter dari paras laut di mana suhunya boleh turun sehingga dua darjah selsius," katanya.

Menurut seorang Malim gunung yang menggunakan nama Facebook Refflisia Putih, sejarah pembentukan ais di puncak kinabalu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana pembentukan ais juga pembekuan embun pernah dilaporkan pada tahun 1975, 1990 dan 1993, selain 2 tahun lalu selepas kejadian gempa bumi iaitu di rekodkan pada tahun 2015 dan 2016.

"Pada tahun ini pembentukan pertama berlaku lagi dan menjadi satu fenomena bagi kita dan menjadi suatu kebanggan bagi warga Sabahan kerana menjadikan satu-satu tempat dimana pembentukan ais boleh berlaku dalam linkungkan terbuka, malah dalam persekitaran cuaca khatulistiwa," tulisnya.