CaliBurger: Burger Premium California Kini 'Diterbangkan' Ke Malaysia

Ana Ghoib Syeikh Malaya 8:36 PG
CaliBurger menawarkan hidangan secara set dan ala-carte, dengan harga serendah RM4.99 hingga RM23.99.

KEMUNCULAN CaliBurger (Malaysia) Sdn Bhd (CaliBurger) di negara ini tidak hanya untuk memeriahkan pasaran restoran makanan segera Barat sedia ada, sebaliknya ia mempunyai misi lebih daripada itu.

Berbeza dengan burger lain yang dibawa masuk ke sini, CaliBurger tampil sebagai sebuah restoran perkhidmatan segera (QSR) yang menawarkan burger premium dengan harga mampu bagi memenuhi selera ramai, khususnya kumpulan penggemar burger.

'Diterbangkan' dari California, Amerika Syarikat, CaliBurger begitu istimewa apabila ia dihasilkan menggunakan ramuan dan bahan-bahan segar lagi berkualiti yang disediakan setiap hari.

Lebih menarik apabila ban dan dagingnya turut disediakan secara harian menggunakan resipi klasiknya dari California, selari dengan konsep QSR.

Pengurus Pemasaran CaliBurger Nur Mustaffa Sanny Teoh berkata konsep 'sentiasa segar' sering menjadi keutamaan CaliBurger bagi memastikan pelanggan dapat membezakannya dengan produk jenama lain.

"Bagi burger daging, kita menggunakan 100 peratus daging lembu dan untuk burger ayam kita hanya gunakan isi ayam dari bahagian dada yang dicincang.

"Kami menyediakannya di dapur setiap hari sebelum dimasukkan ke peti sejuk untuk disejukkan, tetapi sama sekali tidak dibekukan," katanya kepada mStar Online.
[ads-post]



Daging lembu segar digunakan untuk menyediakan burger.

Nur Mustaffa berkata CaliBurger mula beroperasi di Malaysia pada Mei 2015 di Avenue K, Kuala Lumpur sebelum membuka cawangan kedua di Sunway Pyramid pada September 2015.

Katanya, walaupun nampak sama atau seakan-akan sama dengan produk burger lain, CaliBurger sebenarnya jelas berbeza bagi mereka yang pernah mencubanya.

“Tidak hanya daging, kami juga membuat ban sendiri setiap hari bermula dari proses menguli tepung dan proses membakar. Kami melakukannya di dapur terbuka sambil dikawal kualitinya oleh chef berpengalaman.

“Begitu juga dengan sayur-sayuran yang digunakan di mana kami akan pastikan ia sampai kepada kepada kami dalam keadaan segar setiap pagi,” katanya.


Nur Mustaffa bersama salah satu produk CaliBurger.

Bermula dengan outlet pertama yang dibuka di Shanghai, China, CaliBurger yang popular di serata AS telah memasuki pasaran United Kingdom, Sweden, Canada, Arab Saudi, Bahrain, Filipina dan Kuwait.

Melangkah masuk ke restoran ini, pelanggan dapat merasai suasana santai dengan ruang makan yang luas dan selesa disediakan.

Menyambut tetamu adalah sebuah skrin besar yang menyiarkan klip video terkini penyanyi antarabangsa.

Dari pukul 2 hingga 5 petang, pelanggan diberi peluang bermain permainan mudah alih yang dibangunkan khas menerusi skrin tersebut sama ada secara individu atau berkumpulan.

Suasana, budaya dan perwatakan ala-California dapat dirasai dengan adanya lukisan dinding menggambarkan keriangan di pantai dan papan-papan luncur aneka warna sebagai penghias utama.



“Kita sasarkan pelanggan daripada semua peringkat untuk produk ini. Kita mahu beri pengalaman menikmati burger klasik California yang cukup terkenal sejak sekian lama,” katanya.

Mengenai menu yang diketengahkan, CaliBurger menawarkan hidangan secara set dan ala-carte, dengan harga serendah RM4.99 hingga RM23.99.

Antara yang menjadi pilihan ramai termasuklah Caliburger (burger daging dengan 100 peratus daging lembu segar dan keju cair Amerika), Chipotle BBQ Chicken Sandwich (burger daging ayam yang diperap bersama lemon dan herba serta kentang goreng ‘Wild Style’ (kentang goreng dibakar dengan keju sebenar Amerika, bawang panggang dan sos rahsia CaliBurger).



Kentang goreng ‘Wild Style’

Bagi yang ingin mencuba, segeralah berkunjung ke dua buah outlet pilihan. Setelah membuat pesanan di kaunter, nikmati seketika susana santai restoran sebelum buzzer khas di tangan anda berbunyi menandakan hidangan yang dipesan sedia untuk dinikmati.

Pelajar dengan kad identiti akan diberikan diskaun 10 peratus. - mStar