Suami Hadiah ‘Lautan’ Bunga Untuk Isteri Buta

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:57 PG

Toshiyuki Kuroki dan Yasuko Kuroki. Dahulunya mereka bekerja sebagai peladang tenusu di daerah Miyazaki di Jepun dan telah melayari bahtera perkahwinan selama 60 tahun.

Namun, selepasa 30 tahun berkahwin, Yasuko telah kehilangan penglihatannya setelah mengalami komplikasi yang berhubung kait dengan penyakit kencing manis dihidapinya.

Tragedi itu merupakan satu tamparan hebat buat pasangan tersebut: mereka telah menghabiskan masa muda mereka dengan menternak lembu-lembu tenusu di ladang serta menjaga tiga orang anak.

Maka cita-cita mereka untuk mengembara ke seluruh pelosok negara sesudah bersara telah hancur berkecai sama sekali.

Akibat terlalu sedih dan tidak boleh menerima nasib yang menimpanya, Yasuko bertindak untuk mengasingkan dirinya daripada dunia luar.

[ads-post]

Ladang bunga shibazakura ini menarik ribuan pelancong setiap tahun.
Cantik: Lautan merah jambu yang menghiasi perkarangan rumah Toshiyuki dan Yasuko.

Namun, suaminya mahu membuktikan bahawa kehidupan mereka tidak perlu berakhir meskipun isterinya sudah buta.

Lelaki tua itu terus teringat akan pokok bunga shibazakura yang ditanam di kebun mereka. Bunga berwarna merah jambu terang yang berbau harum dan amat cantik dipandang itu merupakan bunga kegemaran isterinya.

Dia fikir, mengapa tidak tanam sahaja bunga shibazakura itu di sekeliling kawasan rumah mereka seperti ladang bunga?

Lebih banyak bunga itu ditanam, lebih ramai pengunjung yang akan tertarik untuk singgah ke teratak mereka dan temankan isterinya.

Lagipun, haruman bunga itu amat menyenangkan isterinya.

Sejak daripada saat itu, suami penyayang itu terus berhenti menternak lembu tenusu dan menanam lebih banyak bunga shibazakura itu sehingga tumbuh melata dan persis lautan merah jambu di perkarangan rumahnya!

Kebun bunga unik ini dibuka untuk kunjungan ramai dan menarik perhatian ribuan pengunjung setiap tahun.

Tetapi, apa yang paling penting bagi Toshiyuki adalah, isterinya sudah kembali menguntumkan senyuman setelah bertahun-tahun meratapi nasibnya.

Pada kami, inilah kisah cinta paling ‘manis’ yang pernah kami jumpa setakat ini. Meskipun telah kehilangan salah satu pancainderanya, namun cinta Toshiyuki kepada isterinya tidak pernah luput.

Malah terus berkembang mekar, seperti bunga shibazakura yang ditanamnya. – MYNEWSHUB.CC